LAHAD DATU, 8 Jun 2026 – Komuniti perniagaan di daerah ini melakar satu langkah baharu apabila Lahad Datu Business Council (LDBC) ditubuhkan sebagai platform penyatuan pelbagai sektor ekonomi bagi memperkukuh kedudukan Lahad Datu sebagai pusat pertumbuhan ekonomi utama di Pantai Timur Sabah.
Penubuhan majlis itu dilihat bertepatan dengan usaha meningkatkan daya saing ekonomi tempatan melalui kerjasama strategik antara usahawan, pelabur serta pemain industri daripada pelbagai latar belakang.
Presiden LDBC, Datuk Nur Alam Khan berkata, kewujudan majlis berkenaan bertujuan mewujudkan satu rangkaian kerjasama yang lebih tersusun dalam kalangan komuniti perniagaan selain membuka ruang kepada peluang pelaburan yang lebih luas.
Menurutnya, Lahad Datu memiliki pelbagai kelebihan yang boleh dimanfaatkan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi termasuk kedudukannya yang strategik serta kekayaan sumber semula jadi yang menyokong pelbagai sektor industri.
“Sudah tiba masanya komuniti perniagaan di daerah ini bergerak secara lebih bersepadu. Melalui platform ini, kita mahu menghimpunkan idea, pengalaman dan kepakaran daripada pelbagai pihak untuk membina kekuatan ekonomi yang lebih mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penubuhan Lahad Datu Business Council yang berlangsung di Dewan Auliah, di sini, hari ini.
Nur Alam turut menegaskan bahawa LDBC tidak hanya memfokuskan kepada satu kelompok usahawan tertentu, sebaliknya terbuka kepada semua pihak yang ingin menyumbang kepada pembangunan ekonomi daerah tanpa mengira kaum atau latar belakang perniagaan.
Katanya, pendekatan inklusif itu penting bagi memastikan setiap komuniti perniagaan dapat memainkan peranan dalam merancakkan aktiviti ekonomi dan mewujudkan jaringan kerjasama yang lebih luas.
Sementara itu, Timbalan Presiden LDBC, Haji Abdul Salam Kassim berkata, Lahad Datu mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai pusat perdagangan dan logistik berdasarkan kedudukannya yang menghubungkan beberapa daerah penting di Pantai Timur Sabah.
Beliau menjelaskan lokasi daerah itu yang berada di antara Sandakan, Tawau, Semporna dan Kunak menjadikannya kawasan yang sesuai untuk pembangunan aktiviti perdagangan serta pengedaran barangan.
“Dengan perancangan yang betul, Lahad Datu boleh menjadi pusat ekonomi yang membantu mengurangkan kos logistik dan mempercepatkan pergerakan barangan serta perkhidmatan di rantau ini,” katanya.
Menurut beliau, antara bidang yang berpotensi menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi daerah ialah sektor pelancongan, perikanan, perkilangan dan industri pemprosesan yang mempunyai nilai komersial tinggi.
Dalam pada itu, jawatankuasa penaja LDBC telah dibentuk bagi menggerakkan proses pendaftaran dan pembangunan organisasi tersebut secara lebih sistematik.
Barisan kepimpinan awal majlis itu diterajui oleh Datuk Nur Alam Khan sebagai Presiden, Haji Abdul Salam Kassim sebagai Timbalan Presiden, Afdheer Abdul Salam sebagai Setiausaha, Mohd Khairul sebagai Penolong Setiausaha, Riduan Yusof sebagai Bendahari Kehormat dan Ahmad Tiong sebagai Penolong Bendahari.
Jawatankuasa berkenaan turut menzahirkan penghargaan kepada Pegawai Daerah Lahad Datu atas sokongan dan pandangan yang diberikan sepanjang proses penubuhan majlis tersebut.
Selepas proses pendaftaran rasmi selesai, LDBC merancang untuk menubuhkan beberapa biro khusus mengikut sektor ekonomi bagi memperluaskan fungsi majlis selain menjalinkan kerjasama lebih erat dengan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Usaha itu diharap dapat mempercepatkan pembangunan ekonomi daerah serta merealisasikan aspirasi menjadikan Lahad Datu sebagai antara hab ekonomi paling berpengaruh di Pantai Timur Sabah dalam tempoh beberapa tahun akan datang. – DAKWAT RAKYAT POST
