KOTA KINABALU:Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya melaksanakan operasi pemusnahan objek yang disyaki sebagai bahan letupan tidak meletup atau Unexploded Ordnance (UXO) di perairan Pulau Mamutik menerusi kerjasama antara Cawangan Selam Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur) dan Depot Peluru dan Bahan Letupan Timur (DPBLT).
Objek berkenaan ditemui pada 9 Jun lalu selepas seorang pemandu aktiviti snorkeling terserempak dengan satu objek berkarat berukuran kira-kira 25 sentimeter di dasar laut. Penemuan itu kemudiannya dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui pihak pengurusan Taman Tunku Abdul Rahman untuk tindakan lanjut.
Susulan laporan yang diterima, penilaian awal telah dijalankan dan mendapati objek terbabit berpotensi sebagai bahan letupan lama yang masih boleh mengundang risiko kepada keselamatan orang awam.
Memandangkan lokasi penemuan berada di kawasan perairan, tanggungjawab melaksanakan operasi pemusnahan diserahkan kepada pasukan Explosive Ordnance Disposal (EOD) TLDM selaras dengan Operation Planning Committee (OPC) No. 8.
Pasukan EOD TLDM yang dianggotai anggota Cawangan Selam MPA Timur dan DPBLT kemudian menjalankan pemeriksaan teknikal secara menyeluruh sebelum melaksanakan prosedur pemusnahan terkawal mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.
Operasi khas itu diketuai oleh Kdr Ts. Ahmad Firdaus bin Zakaria TLDM yang bertanggungjawab menyelaras keseluruhan operasi serta memastikan setiap peringkat pelaksanaannya mematuhi aspek keselamatan dan piawaian EOD.
Hasil pelaksanaan yang teliti dan terancang, operasi tersebut berjaya diselesaikan dengan selamat, teratur serta tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Berikutan kejayaan operasi itu, kawasan perairan Pulau Mamutik kini disahkan selamat untuk pelbagai aktiviti pelancongan, rekreasi marin dan pelayaran setempat, sekali gus memberi jaminan keselamatan kepada pengunjung serta komuniti maritim di kawasan berkenaan.
Markas Pemerintahan Armada Timur turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan operasi berkenaan, khususnya PDRM Kota Kinabalu atas tindakan pantas serta penyelarasan operasi di lapangan.
Penghargaan turut diberikan kepada pihak Taman Tunku Abdul Rahman yang menyediakan bantuan logistik dan kawalan keselamatan kawasan sepanjang operasi berlangsung.
Selain itu, komuniti maritim, pengusaha resort dan pengendali aktiviti pelancongan turut dipuji atas tahap kewaspadaan tinggi serta tindakan segera melaporkan penemuan objek mencurigakan kepada pihak berkuasa.
TLDM menyifatkan kejayaan operasi berkenaan sebagai bukti komitmen berterusan pasukan itu dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa berada pada tahap terbaik, di samping memperkukuh kerjasama antara agensi penguatkuasaan dan komuniti maritim dalam menangani sebarang ancaman keselamatan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyentuh, mengalihkan atau cuba memusnahkan sendiri sebarang objek mencurigakan yang ditemui di laut.
Sebaliknya, sebarang penemuan hendaklah segera dilaporkan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil demi menjamin keselamatan semua pihak. – DAKWAT RAKYAT POST
