SIPITANG, 13 Jun 2026 – Projek Sabah Southern MADANI Link yang dilancarkan hari ini dijangka menjadi pemacu baharu kepada pembangunan ekonomi Sabah menerusi penyediaan sistem bekalan elektrik yang lebih stabil, berkualiti dan berdaya tahan bagi memenuhi keperluan negeri pada masa hadapan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, projek yang telah lama dinantikan rakyat Sabah itu bukan sekadar melibatkan pembinaan infrastruktur penghantaran tenaga, sebaliknya merupakan pelaburan strategik yang mampu memberi impak besar terhadap kestabilan serta kemampanan bekalan elektrik negeri.
Menurut beliau, pelaksanaan projek tersebut akan memperkukuh rangkaian penghantaran elektrik Sabah, meningkatkan kestabilan sistem grid serta mengurangkan risiko gangguan bekalan yang boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat dan aktiviti ekonomi.
“Projek ini amat penting dalam membawa Sabah ke tahap pembangunan yang lebih tinggi apabila sektor-sektor strategik seperti pembuatan, industri minyak dan gas, pemprosesan hiliran, pelancongan, pertanian moden, pusat data digital serta industri berasaskan teknologi dapat menikmati bekalan tenaga yang stabil, mencukupi dan berkualiti.
“Justeru, pembangunan sektor tenaga bukan lagi sekadar memenuhi keperluan semasa, sebaliknya menjadi asas penting kepada perancangan masa depan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek Sabah Southern MADANI Link yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim di Kompleks Persatuan Kebudayaan Lundayeh, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, kelulusan projek berkenaan oleh Kerajaan Persekutuan mencerminkan komitmen berterusan Perdana Menteri dalam menyokong agenda pembangunan Sabah, khususnya dalam memastikan rakyat menikmati kemudahan asas melalui penyediaan infrastruktur tenaga yang lebih mampan.
Katanya, pelaksanaan projek itu turut membuktikan wujudnya kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam usaha membangunkan sistem bekalan elektrik yang lebih kukuh dan boleh dipercayai di Sabah.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah merangka hala tuju pembangunan sektor tenaga menerusi Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SERAMP) 2040 yang berteraskan tiga komponen utama iaitu keselamatan tenaga, akses tenaga yang saksama serta kemampanan tenaga.
Menurutnya, pelan tersebut menjadi panduan penting dalam memastikan bekalan tenaga bukan sahaja mampu memenuhi permintaan semasa, malah berupaya menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah dalam jangka panjang.
Hajiji berkata, pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui akan terus dipergiatkan berikutan Sabah mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab tenaga hijau di Pulau Borneo.
“Dengan sumber hidro yang melimpah, kadar sinaran suria yang tinggi sepanjang tahun serta potensi biojisim yang luas, Sabah berada pada kedudukan strategik untuk menerajui pembangunan tenaga bersih di rantau ini.
“Potensi ini bukan sahaja mampu menarik pelaburan bernilai tinggi, malah mewujudkan peluang ekonomi baharu serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa infrastruktur tenaga yang mantap amat diperlukan bagi menyokong pembangunan kawasan perindustrian strategik seperti Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP), Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Lahad Datu serta beberapa hab pertumbuhan ekonomi lain yang sedang dirancang di seluruh negeri.
Katanya, kawasan-kawasan tersebut memerlukan bekalan elektrik yang mencukupi dan stabil bagi memastikan kelancaran operasi industri serta menarik lebih banyak pelaburan domestik dan asing ke Sabah.
“Projek Sabah Southern MADANI Link bukan sahaja mampu meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik antara wilayah, malah menyediakan kapasiti yang diperlukan untuk mengintegrasikan lebih banyak sumber tenaga boleh diperbaharui ke dalam sistem grid Sabah pada masa hadapan,” katanya.
Pada masa sama, Hajiji merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas sokongan yang diberikan terhadap pelaksanaan projek berkenaan, selain mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan inisiatif tersebut.
“Semoga projek ini menjadi asas kepada masa depan Sabah yang lebih gemilang dengan bekalan tenaga yang stabil, ekonomi yang terus berkembang pesat dan kemajuan yang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat negeri ini,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
