KOTA KINABALU, 13 Jun – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman menghadiri Majlis Makan Malam sempena Sambutan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia Tahun 2026 yang berlangsung di Port View Ballroom, Hakka Hall, di sini, malam tadi.
Penganjuran majlis berkenaan bertujuan menghargai komitmen serta jasa warga Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) yang terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan usaha kemanusiaan, kebajikan dan khidmat sukarelawan kepada masyarakat.
Antara acara utama yang berlangsung ialah Penyampaian Anugerah Kebangsaan BSMM sebagai tanda pengiktirafan kepada individu dan organisasi yang telah menunjukkan dedikasi serta sumbangan cemerlang dalam gerakan kemanusiaan di negara ini.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan hiburan yang mengetengahkan keunikan warisan Sabah. Antaranya termasuk persembahan “Melodi Bumi di Bawah Bayu” oleh artis jemputan serta “Lansaran Warisan” yang mempamerkan seni budaya etnik Murut.
Selain itu, para tetamu turut dihiburkan menerusi persembahan “Malam Berlagu: Simfoni Muhibah dan Kemanusiaan” serta persembahan khas “Suara Juara Kaamatan” yang disampaikan oleh Christal Ann Stephen, Juara Sugandoi Negeri Sabah 2026.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Negeri Sabah, Datuk Asnan Yunus Chung dan Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal.
Sambutan berkenaan bukan sahaja menjadi medan menghargai jasa para sukarelawan BSMM, malah turut memperkukuh semangat kesukarelawanan dan nilai kemanusiaan dalam kalangan masyarakat sejajar dengan peranan pertubuhan itu dalam membantu golongan yang memerlukan. – DAKWAT RAKYAT POST
