KOTA BHARU: Pihak berkuasa Thailand merampas 500 kg syabu bernilai kira-kira RM1.5 bilion dalam satu serbuan besar di Narathiwat yang dipercayai membabitkan rangkaian pengedaran dadah yang menyeludup narkotik ke Malaysia.
Rampasan itu dilakukan pada 15 Jun menerusi operasi bersama oleh Komando Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Wilayah 4 Hadapan dan Biro Pembanterasan Narkotik di Ban Kawa, daerah Sungai Padi, kira-kira 25 kilometer dari Rantau Panjang.
Jurucakap keselamatan Thailand berkata, rampasan dibuat hasil maklumat risikan mengenai sejumlah besar dadah yang diseludup ke kawasan itu untuk disimpan sementara sebelum diedarkan.
Beliau berkata, anggota penguat kuasa menyerbu sebuah kandang lembu dan kawasan sekitarnya sebelum menemui 25 guni mengandungi methamphetamine kristal atau lebih dikenali sebagai syabu.
“Seorang suspek yang dikenali sebagai Fairol ditahan di lokasi kejadian, satu telefon bimbit dan sebuah motosikal turut dirampas.
“Siasatan mendapati dadah itu disembunyikan di dalam kandang lembu serta lubang yang ditutupi rumput berhampiran, dipercayai bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
“Siasatan awal menunjukkan suspek dipercayai diupah oleh seorang individu yang dikenali sebagai ‘Yu’ untuk menjaga dadah berkenaan, namun mendakwa tidak mengetahui penerima akhir bekalan itu,” katanya.
Suspek dikatakan memberitahu penyiasat Thailand bahawa dadah itu dibawa ke lokasi berkenaan menggunakan sebuah lori enam roda pada malam 14 Jun sebelum dipunggah dan disembunyikan.
Jurucakap itu turut mendakwa kira-kira 50 kilogram dadah berkenaan telah dipisahkan untuk kemungkinan diedarkan di pasaran tempatan.
Sementara itu, Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha berkata, penyiasat Thailand sedang meneliti petunjuk dadah itu disasarkan untuk pasaran Malaysia.
“Siasatan kami menunjukkan dadah ini bertujuan diseludup masuk ke Malaysia,” katanya.
Pihak berkuasa Thailand kini memperluaskan siasatan bagi mengenal pasti anggota sindiket lain, termasuk individu yang bertanggungjawab dalam pembiayaan, logistik dan penyelarasan rentas sempadan.
Menurut pegawai Thailand, rampasan itu memberi tamparan besar kepada aktiviti pengedaran dadah di wilayah sempadan selatan negara itu serta menghalang sejumlah besar narkotik daripada memasuki pasaran gelap, khususnya melalui laluan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Malaysia.
Di Malaysia, polis Kelantan sebelum ini turut mengesan taktik penyembunyian serupa apabila menemui dadah yang disorokkan di dalam kandang lembu di Pasir Mas dalam satu operasi antidadah tahun lalu.
Kredit sumber: Buletin TV3
