Jakarta: Indonesia merasmikan pembukaan jalan raya wilayah yang baru siap dibina sepanjang 1,151 kilometer (km) merentasi 37 wilayah, pada Selasa sebagai langkah untuk meningkatkan kesalinghubungan, mengurangkan kos logistik dan menyokong pertumbuhan ekonomi di seluruh negara.
Presiden Prabowo Subianto berkata infrastruktur jalan raya memainkan peranan strategik di Indonesia, sebuah negara kepulauan yang mempunyai wilayah yang luas serta keadaan geografi yang pelbagai.
Beliau menegaskan kerajaan bertekad untuk memastikan tiada wilayah yang ketinggalan akibat akses infrastruktur yang terhad.
“Oleh itu, pembangunan jalan raya wilayah akan terus digalakkan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan pembangunan saksama di seluruh pelosok negara.
Kami bertekad bahawa tiada wilayah yang harus ketinggalan hanya kerana akses yang terhad. Kita mesti mengurangkan kos logistik untuk seluruh rakyat dan ekonomi kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung di platform YouTube sebelum merasmikan laluan jalan raya Kedungdung-Bringkoning sepanjang 1.5 km di Sampang, Jawa Timur, serentak dengan projek jalan raya lain yang telah siap di seluruh negara di bawah program Jalan Raya Wilayah (IJD) 2025 merentasi 37 wilayah.
Melangkah ke hadapan, Prabowo berkata kerajaan akan terus meningkatkan sokongan bagi pembangunan infrastruktur di seluruh negara, termasuk di peringkat kampung, pada tahun-tahun akan datang.
Beliau turut menyeru kerajaan wilayah untuk menyelenggara dan memanfaatkan sepenuhnya infrastruktur sedia ada, di samping menekankan kepentingan memelihara kualiti pembinaan serta memastikan akauntabiliti dalam penggunaan dana awam.
Kredit sumber: Bernama/Harian Metro
