Tehran: Ketua perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf menyatakan Selat Hormuz bakal ditadbir oleh pihak Tehran.
Media rasmi melaporkan perkara ini pada Selasa, susulan rundingan bagi menamatkan peperangan antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan republik Islam itu.
Iran dan AS mencapai persetujuan pada Isnin untuk mewujudkan talian komunikasi bagi memastikan laluan perkapalan penting itu kekal dibuka, selain menamatkan pertempuran di Lubnan.
Pihak pengantara memaklumkan perkara ini sejurus selesainya pusingan pertama rundingan di Switzerland bagi menamatkan konflik yang menyelubungi Timur Tengah.
“Selat Hormuz tidak akan kembali kepada keadaan sebelum perang. Kawasan ini kekal ditadbir Iran, selaras dengan undang-undang antarabangsa,” kata Ghalibaf sekembalinya beliau daripada rundingan itu, memetik laporan IRNA.
Menerusi satu rakaman video yang dimuat naik ke akaun Telegram peribadinya, beliau menjelaskan bahawa perbincangan di pusat peranginan mewah Switzerland, Burgenstock, membuahkan “pencapaian yang baik”.
“Pada pandangan saya, lawatan kerja ini membawa pulangan positif, terutamanya menyentuh perbincangan laluan selat, isu Lubnan, pengecualian sekatan minyak, serta urusan pelepasan dana yang dibekukan,” katanya.
AS menggantung sekatan ke atas minyak Iran buat sementara waktu pada Isnin. Langkah ini diambil susulan kenyataan Naib Presiden AS, JD Vance yang memaklumkan pihak Tehran sedia membenarkan pemeriksa nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kembali ke negara itu hasil daripada rundingan yang dijalankan.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian, Tehran juga dijadualkan menerima kelonggaran sekatan daripada Washington, di samping pencairan aset kewangan mereka.
“Sudah tentu, kita percaya ini baru sahaja bermula dan usaha ini wajib diteruskan,” tambah Ghalibaf dalam video berkenaan.
Media rasmi Iran melaporkan Ghalibaf sempat mengadakan lawatan singkat ke Oman, negara yang berkongsi sempadan Selat Hormuz.
Laluan air yang ditutup oleh Iran pada awal peperangan kini dibuka semula minggu lepas selepas Washington dan Tehran mencapai kata sepakat.
Namun, Tehran mengumumkan penutupan semula selat pada Sabtu sebagai tindak balas terhadap serangan Israel di Lubnan.
Sejak senario itu, Tehran dan Washington bersetuju mewujudkan talian komunikasi demi mengelakkan sebarang insiden dan salah faham.
Langkah ini bertujuan memastikan pelayaran kapal dagang berjalan dengan selamat melalui laluan maritim itu, memetik kenyataan pihak pengantara Qatar dan Pakistan. Trafik maritim di kawasan selat terus bergerak lancar pada Isnin dengan kadar kelajuan yang lebih tinggi berbanding sebelum wujudnya perjanjian rundingan tamat perang antara AS-Iran, menurut firma pengesan kapal.
Kredit sumber: AFP/Harian Metro
