London: LEGO mencipta kejutan apabila membina sebuah kereta sport bersaiz sebenar menggunakan hampir 328,000 keping LEGO Technic yang kemudiannya mencatat rekod sebagai kereta LEGO terpantas di dunia.
Kenderaan itu dipandu pemandu uji Koenigsegg, Markus Lundh, di litar bukit Goodwood sempena pelancaran set LEGO Technic Koenigsegg Sadair’s Spear yang baharu.
Acara unik yang direka sebagai gimik publisiti itu turut mencatatkan rekod baharu bagi kereta LEGO terpantas di dunia.
Catatan itu lebih laju berbanding rekod terdahulu iaitu 50 kilometer sejam (km/j).
Model Sadair’s Spear bersaiz sebenar itu adalah sebuah keajaiban teknikal yang luar biasa.
Ia mengambil masa tidak kurang daripada 9,400 jam untuk disiapkan oleh satu pasukan pembina LEGO dan hasilnya kelihatan sangat realistik sehingga apabila bergerak, ia menyerupai sebuah kenderaan Koenigsegg sebenar, bukannya sekadar arca yang diperbuat daripada bata plastik.
“Ini adalah binaan paling kompleks dalam tempoh masa paling singkat bagi semua kereta Lego Technic. Tugasan ini memerlukan sebuah kenderaan Lego Technic yang boleh bergerak pada kelajuan tinggi, jadi kami menetapkan sasaran 100 km/j.
“Kami mula membincangkannya pada musim panas lalu tetapi kerja pembinaan hanya bermula pada Oktober,” kata ketua reka bentuk LEGO, Lubor Zelinka kepada Top Gear.
Beliau berkata, keseluruhan projek itu mengambil masa kira-kira tujuh bulan setengah untuk disiapkan.
Antara permintaan lain termasuk memasukkan ciri ‘Ghost Mode’ yang terkenal pada Koenigsegg menjadikannya kali pertama mereka membina model bersaiz penuh dengan banyak panel badan yang boleh dibuka sekali gus menjadikannya sebuah kenderaan berfungsi dan bukan sekadar model pameran.
Keseluruhan kereta itu seberat kira-kira 1,800 kilogram dengan 400 kilogram daripadanya terdiri daripada elemen plastik LEGO.
Di bawah reka bentuk badan LEGO yang rumit itu terdapat casis logam khas, sangkar keselamatan spesifikasi FIA, roda karbon Koenigsegg, dan sistem ampaian yang berfungsi sepenuhnya.
Berbeza dengan model Sadair’s Spear yang sebenar, kenderaan LEGO ini dikuasakan oleh motor elektrik kecil. Namun begitu, motor itu terbukti cukup berkuasa untuk memacu kereta itu sehingga mencapai kelajuan 111 km/j.
“Cita-cita kami adalah untuk mencipta binaan LEGO Technic paling maju yang pernah kami hasilkan. Set ini benar-benar merangkumi falsafah LEGO Technic iaitu Membina Untuk Realiti,” kata pereka model kanan, Kasper Rene Hansen kepada Autonext.
Kredit sumber: Harian Metro
