Kuantan: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kali menerima kehadiran lapan pasangan kembar sebagai mahasiswa baharu.
Mereka antara 5,000 penuntut yang mendaftar sebagai mahasiswa baharu kali ini, membabitkan tiga pasangan kembar lelaki dan lima pasangan kembar perempuan yang melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di Pusat Asasi UIAM di kampus Gambang dan Kuantan.
Bagi Siti Nur Damia Tasnif Luqman dan kembarnya, Siti Nur Dania Tasnim masing-masing berusia 18 tahun, mereka begitu teruja dan berbangga apabila impian melanjutkan pengajian di UIAM menjadi kenyataan.
Siti Nur Damia Tasnif berkata, mereka memilih UIAM atas faktor persekitaran yang sentiasa menitikberatkan tuntutan Islam seperti menutup aurat, kuliah agama dan pergaulan yang terbatas terutama dengan penuntut lelaki.
“Selain pendidikan akademik, kami turut berpeluang menimba ilmu agama disediakan pihak UIAM. Di universiti lain mungkin suasananya agak berbeza. Faktor berkenaan mendorong saya adik (Siti Nur Dania Tasnim) menjadikan UIAM sebagai pilihan pertama melanjutkan pelajaran.
“Sokongan dan galakkan diberikan insan tersayang, ibu dan ayah menguatkan lagi semangat untuk meneruskan langkah ke UIAM. Saya dan kakak sepakat memilih jurusan sains fizikal bagi memburu cita-cita,” katanya yang berasal dari Klang, Selangor.
Bagi Elya Dania Azman dan kembarnya, Elya Diana masing-masing berusia 18 tahun pula mengakui bersyukur dan bertuah apabila impian melanjutkan pengajian ke universiti pilihan menjadi kenyataan, sekali gus semakin hampir kepada cita-cita sebagai jurutera kimia dan bidang perubatan suatu hari nanti.
“Walaupun tidak dapat tinggal bersama dalam satu bilik namun itu tidak melemahkan semangat dan tumpuan kami untuk berjaya dalam pelajaran.
“Matlamat kami selepas ini adalah berusaha memburu cita-cita, seterusnya mengotakan janji kepada ibu dan bapa,” katanya yang ditempatkan di UIAM kampus Gambang.
Sementara itu Nur Dhia Danisha Muhammad Yusri, 18 dan adiknya, Nur Adini Darwisya berkata, sokongan ibu dan bapa menambahkan lagi semangat mereka untuk memilih UIAM sebagai pilihan pertama.
“Saya memilih jurusan Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, manakala adik memilih jurusan jururawat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti, Pusat Asasi UIAM kampus Gambang dan Kuantan, Nazira Zubir berkata, ini kali pertama UIAM menerima kemasukan lapan pasangan kembar serentak di Pusat Asasi UIAM kampus Gambang dan Kuantan.
“Tahun lalu kita hanya menerima lima pasangan kembar. Namun hari ini kita menerima lapan pasangan kembar membabitkan tiga pasang lelaki dan lima pasang perempuan. Masing-masing empat pasang belajar di UIAM kampus Gambang dan empat pasang di UIAM kampus Kuantan,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro
