KEDAH: Di sebalik senyuman kecilnya, tersimpan ujian yang amat berat buat seorang kanak-kanak berusia dua tahun empat bulan, Mohammad Ayyash Mateen, yang terpaksa bergantung kepada mesin oksigen sejak dilahirkan.
Menurut ibunya, Siti Nor Aidah Saidon, Ayyash disahkan menghidap beberapa penyakit serius seawal usia tujuh hari, termasuk masalah jantung kongenital yang menyebabkan saluran jantungnya tidak berkembang secara normal.
“Anak saya menghidap penyakit genetik yang sangat jarang berlaku iaitu Sindrom Cri du Chat atau lebih dikenali sebagai sindrom tangisan kucing,” katanya.
Selain penyakit jantung, Ayyash turut mengalami masalah paru-paru kronik, buah pinggang bercantum serta pembekuan darah di otak. Keadaan kesihatannya memerlukan pemantauan rapi dan rawatan berterusan di hospital.
Sejak lahir, Ayyash bergantung kepada mesin oksigen untuk terus bernafas, menjadikan kehidupannya dan keluarga penuh dengan cabaran setiap hari.
Siti Nor Aidah yang merupakan seorang suri rumah berkata, suaminya hanya bekerja sebagai pembantu kedai runcit dengan pendapatan harian yang tidak menentu.
Dengan dua orang anak yang perlu dibesarkan, keluarga itu kini berdepan kesukaran untuk menampung kos rawatan, ubat-ubatan, susu khas serta keperluan harian Ayyash yang mencecah kira-kira RM2,000 sebulan.
“Sebagai ibu, saya hanya mahu melihat anak saya terus diberi peluang untuk hidup dan menjalani rawatan yang diperlukan. Saya amat berharap ada insan yang sudi membantu meringankan beban kami,” katanya dengan penuh harapan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun berikut:
Nama: SITI NOR AIDAH BINTI SAIDON
Bank: Bank Simpanan Nasional (BSN)
No. Akaun: 0210841100045554
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh menghubungi Siti Nor Aidah di talian 011-6447 9620 (panggilan atau WhatsApp).
Setiap sumbangan, walau sekecil mana sekalipun, mampu memberi sinar harapan buat Adik Ayyash untuk meneruskan rawatan dan perjuangan hidupnya.
