KOTA KINABALU, 1 Julai 2026 – Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menyambut baik pelaksanaan Program Solar Penggunaan Sendiri (Solar Rakyat Sabah) yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), menyifatkannya sebagai inisiatif yang mampu meringankan beban kos sara hidup rakyat melalui penjimatan bil elektrik.
Pengerusi YPNM Sabah, David Chan, berkata program yang dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 4,000 isi rumah di seluruh Sabah.
Menurut beliau, pelaksanaan program berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, selain memperkukuh sekuriti bekalan tenaga untuk keperluan jangka panjang.
Katanya, inisiatif itu hadir pada waktu yang amat sesuai ketika rakyat berhadapan peningkatan kos sara hidup serta perbelanjaan utiliti yang semakin membebankan.
“Melalui pemasangan sistem solar di kediaman, pengguna berpeluang menjana tenaga elektrik sendiri untuk kegunaan harian. Langkah ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada bekalan grid, malah membolehkan pengguna menikmati penjimatan bil elektrik secara berterusan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
David berkata, Sabah mempunyai kelebihan semula jadi untuk membangunkan tenaga solar kerana menerima kadar sinaran matahari yang tinggi sepanjang tahun.
Menurutnya, keadaan itu menjadikan sistem solar bumbung sebagai antara penyelesaian tenaga yang praktikal, bersih dan mampan untuk dimanfaatkan oleh pengguna di negeri ini.
Beliau berkata, selain membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah, program berkenaan turut menyokong usaha peralihan kepada tenaga hijau serta mengurangkan pergantungan terhadap sumber tenaga konvensional.
“Program ini bukan sahaja membawa manfaat ekonomi kepada pengguna, malah dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penggunaan tenaga lestari demi kelestarian alam sekitar,” katanya.
Sehubungan itu, YPNM Sabah menyatakan sokongan penuh terhadap usaha ECoS mempercepat pembangunan tenaga boleh diperbaharui di Sabah dan berharap pelaksanaan Program Solar Rakyat Sabah dapat diperluaskan pada masa akan datang.
Menurut David, langkah itu akan membolehkan lebih ramai pengguna, khususnya dalam kalangan golongan B40 dan M40, menikmati manfaat penggunaan tenaga solar di kediaman masing-masing.
Beliau turut merakamkan penghargaan serta mengucapkan tahniah kepada Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid dan seluruh warga ECoS atas kejayaan merealisasikan program berimpak tinggi tersebut.
Katanya, YPNM Sabah berharap lebih banyak dasar dan inisiatif mesra pengguna akan diperkenalkan bagi memastikan rakyat terus menikmati bekalan tenaga yang lebih cekap, mampu milik dan mampan, selaras dengan aspirasi pembangunan hijau Sabah. – DAKWAT RAKYAT POST
