PETALING JAYA – Cubaan 13 warga asing disenarai hitam menyelinap masuk semula ke negara ini melalui laluan haram atau lorong tikus di sempadan Kelantan gagal selepas mereka diberkas Jabatan Imigresen (JIM), semalam.
Lebih mengejutkan, kumpulan terbabit dipercayai sanggup menggunakan laluan tidak diwartakan bagi mengelak pemeriksaan pihak berkuasa selepas nama mereka disekat daripada memasuki Malaysia.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi khas bermula pukul 5.10 pagi itu dijalankan di dua lokasi sekitar Kota Bharu, Kelantan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya.
Menurut beliau, operasi berkenaan melibatkan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama JIM Kelantan serta kerjasama strategik Unit Risik Marin, MO PPM W3 Pengkalan Kubor, Tumpat.
“Berdasarkan maklumat awam serta risikan yang dijalankan, pasukan operasi menyerbu lokasi pertama di sekitar terminal bas dan menahan lapan lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki serta seorang wanita warga Indonesia.
“Di lokasi kedua iaitu sekitar kawasan perumahan, pasukan operasi berjaya menahan seorang wanita warga Myanmar walaupun suspek cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, kesemua individu yang ditahan berusia lingkungan 22 hingga 55 tahun, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan seramai 13 orang.
Katanya, pemeriksaan lanjut turut membawa kepada rampasan lapan pasport Bangladesh dan Indonesia serta sebuah kenderaan jenis Proton Preve yang dipercayai digunakan bagi memudahkan pergerakan warga asing terbabit.
“Siasatan awal mendapati terdapat antara mereka yang ditahan dipercayai disenarai hitam daripada memasuki Malaysia, namun bertindak menggunakan laluan yang tidak diwartakan bagi mengelakkan pemeriksaan imigresen.
“Kesemua warga asing tersebut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 sebelum dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam masa sama, Zakaria menegaskan JIM akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan bagi mengekang sebarang cubaan kemasukan warga asing secara tidak sah, termasuk melalui laluan tikus di kawasan sempadan.
“JIM akan terus komited dalam membanteras sebarang aktiviti penyeludupan migran dan akan mempergiatkan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan, kedaulatan serta kesejahteraan negara terus terpelihara,” katanya.
Kredit sumber: KOSMO! ONLINE
