KLANG: Cubaan warga asing melarikan diri selepas serbuan di Plaza GM, Bandar Botanik di sini oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Op Mega gagal apabila 86 individu ditahan, Rabu lalu.
JIM dalam satu kenyataan memaklumkan jabatan itu komited untuk membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) serta membendung sebarang bentuk penyalahgunaan undang-undang imigresen.
Menurutnya, selaras dengan pendekatan Whole-of-Government, JIM terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih bersepadu, menyeluruh dan berkesan.
“Sehubungan itu, JIM melaksanakan Op Mega di Plaza GM, Bandar Botanik, Klang dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Operasi yang bermula jam 5 petang itu melibatkan seramai 125 pegawai penguat kuasa hasil risikan dan aduan awam yang dijalankan selama dua minggu,” jelas kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, pemeriksaan ke atas 50 premis perniagaan dan 327 individu membawa kepada penahanan 86 warga asing dari China, Kemboja, Filipina, Myanmar, Indonesia, India, Bangladesh dan Pakistan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Ketika operasi dijalankan, beberapa warga asing cuba melarikan diri namun cubaan tersebut berjaya dipatahkan hasil koordinasi pasukan operasi dan penggunaan dron bagi memantau laluan keluar.
“Selain itu, JIM turut mengeluarkan 11 Borang 29 (Saman) kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurut JIM, dalam operasi sama, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut menahan seorang wanita yang disyaki menggunakan kad pengenalan milik individu lain untuk siasatan mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78).
“Kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
“JIM ingin menegaskan bahawa tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana warga asing yang memasuki negara secara tidak sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan atau menyalahgunakan kemudahan pas. Pada masa sama, tindakan tegas turut akan diambil terhadap mana-mana majikan, pemilik premis atau individu yang menggaji, melindungi atau bersubahat dengan PATI,” menurut kenyataan itu.
Kredit sumber: Buletin TV3
