KOTA KINABALU, 3 Julai – Rakyat Sabah diseru supaya tidak terpengaruh untuk menyertai Perhimpunan Gempur Rasuah yang dijadual berlangsung esok, sebaliknya terus mengutamakan keamanan, kestabilan dan keharmonian negeri.
Aktivis Masyarakat, Suhana Ong, berkata, meskipun usaha membanteras rasuah merupakan tanggungjawab semua pihak, tindakan menyuarakan bantahan perlu dilakukan secara berhemah serta mengikut saluran yang dibenarkan undang-undang.
“Rakyat Sabah perlu bijak menilai keadaan dan tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang mungkin mempunyai agenda tertentu. Penolakan terhadap rasuah sememangnya penting, namun perjuangan itu perlu dilaksanakan secara matang, berlandaskan undang-undang dan bukannya melalui tindakan yang berpotensi mengganggu ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Suhana, Sabah ketika ini memerlukan suasana yang kondusif bagi memastikan usaha menarik pelaburan, merancakkan ekonomi serta melaksanakan pelbagai agenda pembangunan negeri tidak terjejas akibat sebarang insiden yang tidak diingini.
Beliau berkata, sebarang dakwaan berkaitan rasuah sewajarnya diserahkan kepada agensi penguat kuasa untuk disiasat secara bebas, telus dan profesional tanpa sebarang campur tangan atau tekanan daripada mana-mana pihak.
“Kita harus menghormati proses perundangan negara. Sekiranya terdapat bukti terhadap mana-mana individu, biarlah pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab mereka mengikut lunas undang-undang. Rakyat juga mempunyai pelbagai saluran yang sah untuk menyuarakan pandangan tanpa perlu menyertai perhimpunan yang boleh membuka ruang kepada provokasi atau dimanipulasi oleh pihak berkepentingan,” katanya.
Sehubungan itu, Suhana berharap rakyat Sabah terus mengekalkan semangat perpaduan dan mengutamakan kestabilan negeri demi kepentingan bersama, selain memastikan setiap isu ditangani secara rasional serta berpandukan kepada prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.
