KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan seramai 208 pendatang asing tanpa izin (PTI) menerusi operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan secara serentak di seluruh daerah di negeri ini selama tiga hari.Menerusi kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook rasmi JIM Sabah, operasi bermula dari 30 Jun hingga 2 Julai lalu itu melibatkan 26 siri operasi di beberapa lokasi strategik sebagai usaha membanteras kehadiran PTI selain menangani penyalahgunaan kemudahan imigresen.Sepanjang operasi berkenaan, seramai 1,187 individu telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 208 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.Menurut JIM Sabah, tangkapan paling ramai membabitkan warga Filipina dengan keseluruhan 164 individu, terdiri daripada 53 lelaki dewasa, 72 wanita dewasa, 21 kanak-kanak lelaki dan 18 kanak-kanak perempuan.Selain itu, seramai 30 warga Indonesia turut ditahan membabitkan 15 lelaki dewasa dan 15 wanita dewasa.Operasi sama turut menyaksikan penahanan lima lelaki warga Pakistan, enam lelaki warga China serta tiga lelaki warga India yang dipercayai melakukan kesalahan berkaitan imigresen.Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat secara berterusan di lokasi-lokasi strategik di seluruh negeri bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen sentiasa diperkukuhkan.”Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara. Orang ramai juga disaran menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan PTI melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia bagi membantu usaha penguatkuasaan yang dilaksanakan,” katanya.Menurut jabatan itu, tindakan berterusan tersebut bukan sahaja bertujuan membanteras kehadiran PTI, malah mengekang sebarang penyalahgunaan kemudahan imigresen.JIM Sabah menegaskan kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan undang-undang negara terus dipelihara. – DAKWAT RAKYAT POST
