PENAMPANG, 4 Julai 2026 – Dua lelaki tempatan ditahan selepas didapati positif dadah dalam Op Pusat Hiburan yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di sekitar daerah ini, awal pagi tadi.
Operasi yang diketuai oleh ASP Bakar Jasa itu menyasarkan dua premis pusat hiburan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan polis membanteras penyalahgunaan dadah serta memastikan pengusaha premis mematuhi peruntukan undang-undang.
Sepanjang operasi dijalankan, seramai 32 individu menjalani ujian saringan air kencing.
Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 32 dan 49 tahun positif dadah jenis methamphetamine (METH) dan tetrahydrocannabinol (THC).
Kedua-dua mereka kemudian ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan sendiri.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pihaknya akan terus memperhebatkan operasi seumpama itu secara berkala sebagai langkah proaktif dalam membanteras penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.
Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan juga bertujuan memastikan semua pusat hiburan mematuhi peraturan serta undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui sebarang kegiatan jenayah atau penyalahgunaan dadah bagi membantu mengekalkan keselamatan dan kesejahteraan komuniti.
Katanya, kerjasama erat antara polis dan masyarakat amat penting dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah serta mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk semua. – DAKWAT RAKYAT POST
