KUCHING: Sarawak menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa negeri itu layak menerima bayaran interim seperi Sabah, namun mahu sebarang penambahan perlu dibuat mengikut peruntukan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan jika bersetuju menambah bayaran interim kepada Sarawak berdasarkan peruntukan berkenaan.
“Kalau kerajaan bersetuju menambah bayaran interim di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, saya ucapkan terima kasih. Kalau nak tambah, terima kasihlah,” katanya ketika ditemui selepas mrasmikan New Horizons, Western Digital Sarawak di Zon Perindustrian Bebas Samajaya di sini, semalam.
Baru-baru ini di Parlimen, Anwar dilaporkan berkata kerajaan Sarawak layak menerima bayaran interim khas seperti dinikmati kerajaan Sabah kerana pemberian itu adalah selari persefahaman dalam MA63.
Proses rundingan bagi pemberian interim khas kepada kerajaan Sarawak sedang dilakukan bersama Abang Johari.
Mengulas lanjut, Abang Johari bagaimanapun berkata, belum ada perbincangan secara terperinci diadakan susulan kenyataan Perdana Menteri di Parlimen berhubung perkara itu.
“Belum lagi bincang secara terperinci, tetapi ketika kami bertemu di Bintulu tempoh hari, beliau (Anwar) ada menyentuh perkara itu dan berkata akan melihat kemungkinan untuk menambah peruntukan berkenaan.
“Saya hanya mengucapkan terima kasih kerana sebelum ini saya sudah beberapa kali menyuarakan perkara itu,” katanya.
Abang Johari berkata, perbincangan lanjut dijangka diteruskan antara Kementerian Kewangan (MOF) dan pihak berkaitan bagi memperincikan cadangan berkenaan.
Pada masa sama, beliau berkata Sarawak turut mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan supaya menyediakan insentif bagi menyokong pembangunan industri baharu, khususnya yang berkaitan ekonomi hijau dan tenaga diperbaharui.
Beliau berkata, antara cadangan dikemukakan ialah insentif bagi penggunaan hidrogen, termasuk pengurangan cukai ke atas hidrogen dan kenderaan yang menggunakan bahan api itu bagi menggalakkan peralihan kepada tenaga bersih.
“Kita mahu Malaysia menjadi lebih menarik kepada pelabur dalam industri baharu. Jika ada insentif cukai, ia akan menggalakkan lebih banyak syarikat beralih kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
