SEPANG: Seorang suri rumah didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas dia mengaku bersalah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu menerusi media sosial berhubung kenaikan harga minyak.
Nur Nadia Ahmad Johari, 34, yang didakwa di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman mengaku secara sedar membuat dan memulakan penghantaran palsu disertakan dengan infografik palsu berhubung kenaikan harga minyak dengan niat mengganggu orang lain.
Dia dituduh membuat dan memulakan penghantaran komunikasi itu menerusi aplikasi Threads yang dilihat pada jam 12.01 tengah hari di Menara MCMC 1, Cyberjaya, 31 Mac lalu.
Pertuduhan dikemukakan Pegawai Pendakwa, Nazrul Nizam Mohd Zamri mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 233(2) akta sama.
Dalam penghakimannya, Ahmad Fuad berkata, pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk membendung penyebaran kandungan palsu dan jelek yang boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat.
Katanya, penyebaran maklumat palsu boleh membawa implikasi yang lebih besar apabila membabitkan isu sensitif seperti agama, kaum, institusi diraja serta perkara yang berpotensi mengganggu ketenteraman awam.
“Hari ini mungkin seseorang beranggapan satu hantaran itu perkara kecil, tetapi apabila dikongsi oleh ratusan atau ribuan orang, kesannya menjadi jauh lebih besar kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan sesuatu maklumat terlebih dahulu sebelum berkongsi di media sosial.
Kredit sumber: Berita Harian
