TAWAU, 8 Julai 2026 – KEADILAN Cabang Tawau meneruskan komitmennya dalam menyantuni masyarakat menerusi Program Santuni dan Pengagihan Bantuan Baju Bundle yang diadakan di Kampung Serudung, di sini.
Program berkenaan diketuai oleh Fung Thin Yein (TY Fung), Ketua Cabang KEADILAN Tawau yang juga Naib III Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah.
Turut menjayakan program itu ialah barisan Ahli Jawatankuasa (AJK), Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Biro Kebajikan serta anggota-anggota KEADILAN Cabang Tawau yang berganding bahu memastikan pengagihan bantuan berjalan dengan lancar.
Melalui inisiatif tersebut, pakaian bundle diagihkan kepada penduduk yang memerlukan sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat setempat, sekali gus membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.
Selain pengagihan bantuan, program itu turut menjadi platform untuk mendekati penduduk serta mendengar sendiri pandangan dan keperluan mereka agar usaha kebajikan yang dilaksanakan pada masa hadapan dapat terus memenuhi keperluan komuniti.
Menurut penganjur, pendekatan turun padang seperti ini penting dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat di samping memastikan bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
KEADILAN Cabang Tawau memaklumkan akan terus komited memperkasakan pelbagai program kebajikan dan mendekati masyarakat menerusi pelbagai inisiatif yang memberi manfaat demi kesejahteraan rakyat, selaras dengan semangat kebersamaan dalam meringankan beban komuniti. – DAKWAT RAKYAT POST
