Padang Besar: Kegiatan satu sindiket pengedaran dadah di Perlis berjaya dilumpuhkan hasil penahanan tiga individu dan merampas cecair dadah bernilai RM34.31 juta.
Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, kesemua suspek itu ditahan hasil tiga serbuan berasingan di sekitar negeri itu membabitkan seorang wanita warga Thailand dan dua lelaki tempatan berusia antara 38 hingga 68 tahun bermula 1 hingga 3 Julai lalu.
Menurutnya, dalam serbuan pertama pada 1 Julai lalu, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Arau dan Padang Besar bertindak menahan wanita warga Thailand berusia 38 tahun di Kampung Panggas, Padang Besar.
“Hasil pemeriksaan di sebuah stor simpanan barang, polis menemui 172 kotak berisi 75,540 katrij mengandungi dadah disyaki jenis Furanylfentanyl sebanyak 188.85 liter yang dianggarkan bernilai RM28.33 juta.
“Susulan penahanan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis membuat tangkapan kedua pada 2 Julai membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia 68 tahun di Kampung Guar Musang, Bukit Keteri,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, di sini, hari ini.
Beliau berkata, dalam serbuan kedua itu, polis merampas 35 kotak mengandungi 21,000 katrij cecair dadah jenis yang sama seberat 39.9 liter dengan nilai pasaran dianggarkan RM5.9 juta.
“Tangkapan ketiga kemudiannya dilakukan pada 3 Julai lalu di sekitar Ulu Pauh, Arau dan menahan seorang lelaki tempatan berketurunan Siam berusia 55 tahun yang dipercayai turut terbabit dengan sindiket berkenaan.
“Siasatan mendapati modus operandi sindiket ini adalah menggunakan stor penyimpanan barang dan rumah kediaman sebagai kawasan transit sebelum dihantar ke negara jiran.
“Jumlah keseluruhan rampasan seberat 228.75 liter ini dianggarkan boleh digunakan seramai 457,500 orang,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek ketiga positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC), manakala suspek pertama dan kedua negatif daripada sebarang penggunaan dadah.
Menurutnya, semakan mendapati suspek kedua dan ketiga memiliki rekod lampau membabitkan kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952, manakala suspek pertama tiada rekod jenayah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.
“JSJN akan meneruskan siasatan untuk mengesan seorang lagi suspek yang melarikan diri untuk dibawa ke muka pengadilan.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam pengedaran atau melindungi aktiviti dadah,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro
