NUNUKAN: Penganjuran Pekan Olahraga Wartawan Daerah (Porwada) II Kalimantan Utara (Kaltara) 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula 2 hingga 5 Julai lalu di Nunukan berakhir dengan jayanya apabila semua acara berlangsung dalam suasana selamat, teratur, lancar dan penuh semangat persaudaraan.
Kejayaan itu sekali gus mengangkat Kabupaten Nunukan sebagai tuan rumah yang berjaya menganjurkan temasya sukan terbesar melibatkan pengamal media di Kalimantan Utara.
Di sebalik persaingan sengit memburu pingat, Porwada II turut mencapai matlamat utama penganjurannya iaitu mengukuhkan semangat perpaduan dan silaturahim dalam kalangan wartawan dari seluruh kabupaten dan bandar di Kalimantan Utara.
Para wartawan yang kebiasaannya sibuk dengan tugasan liputan berita berpeluang berhimpun dalam satu gelanggang untuk bersaing secara sihat sambil mengeratkan hubungan persaudaraan dan profesionalisme.
Pengerusi Panitia Besar Porwada II Kaltara 2026, Eliazar Simon berkata, kejayaan penganjuran itu adalah hasil kerjasama erat semua pihak yang berkongsi komitmen dalam memperkasakan organisasi kewartawanan di Kalimantan Utara.
Menurut beliau, keseluruhan perjalanan program berlangsung mengikut perancangan, bukan sahaja berjaya dari sudut penganjuran temasya sukan malah turut memperkukuhkan hubungan sesama pengamal media.
“Seluruh rangkaian program berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang. Kejayaan ini bukan sekadar menganjurkan temasya sukan, malah menjadi platform mempererat hubungan dalam kalangan insan media. Ia merupakan satu kebanggaan buat kita semua,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Gabenor Kalimantan Utara, Bupati Nunukan, barisan Pemerintah Kabupaten Nunukan, Forum Koordinasi Pimpinan Daerah (Forkopimda), Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) Kabupaten Nunukan selaku jawatankuasa penganjur tempatan, para penaja, pengadil, petugas kesihatan, anggota keselamatan, sukarelawan serta semua peserta yang menjayakan temasya tersebut.
Katanya, sokongan dalam pelbagai bentuk membuktikan Nunukan berupaya menjadi tuan rumah yang mesra, profesional dan bersedia menganjurkan acara bertaraf wilayah.
Porwada II Kaltara 2026 mempertandingkan sembilan acara iaitu futsal, badminton, tenis meja, catur, biliard, domino, olahraga, e-sukan serta karya kewartawanan yang menjadi platform menguji kreativiti dan mutu hasil penulisan para wartawan.
Sepanjang temasya berlangsung, setiap pertandingan berlangsung dalam suasana kompetitif, namun semua peserta tetap mempamerkan semangat kesukanan, saling menghormati dan menjunjung nilai profesionalisme sebagai pengamal media.
Pada penghujung temasya, PWI Kota Tarakan sekali lagi membuktikan penguasaan mereka apabila berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan buat kali kedua berturut-turut selepas mengumpul 11 pingat emas, enam perak dan 16 gangsa, menjadikan keseluruhan 33 pingat.
PWI Kabupaten Nunukan selaku tuan rumah muncul naib juara dengan kutipan tujuh emas, lapan perak dan lapan gangsa, sekali gus mengumpul 23 pingat.
Sementara itu, PWI Kabupaten Bulungan menamatkan saingan di tempat ketiga selepas meraih dua pingat emas, enam perak dan 14 gangsa dengan jumlah keseluruhan 22 pingat.
Bagi Panitia Besar Porwada, pencapaian pingat bukanlah ukuran utama kejayaan temasya tersebut. Sebaliknya, semangat perpaduan, hubungan persaudaraan dan komunikasi yang semakin erat dalam kalangan wartawan di Kalimantan Utara menjadi pencapaian paling bermakna.
“Gelaran juara sememangnya penting, namun yang lebih bernilai ialah perpaduan yang semakin kukuh dalam kalangan insan media. Kami berharap semangat kebersamaan ini terus dipelihara dan menjadi pemangkin kepada kemajuan dunia kewartawanan di Kalimantan Utara,” katanya.
Beliau berkata, Porwada bukan sekadar medan melahirkan juara dalam bidang sukan, malah menjadi platform menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan wartawan yang sentiasa berdepan jadual tugasan padat, selain mendorong penghasilan karya kewartawanan yang lebih profesional, berkualiti dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurutnya, kejayaan menganjurkan Porwada II di Nunukan turut diharapkan menjadi asas penting dalam persiapan PWI Kalimantan Utara melahirkan atlet wartawan yang lebih berdaya saing bagi menghadapi Pekan Olahraga Wartawan Nasional (Porwanas) pada masa akan datang.
“Semoga kejayaan yang dicapai di Nunukan menjadi asas kepada penganjuran Porwada yang lebih cemerlang pada masa hadapan. Terima kasih kepada seluruh keluarga besar PWI se-Kalimantan Utara yang telah menjadi sebahagian daripada sejarah kejayaan Porwada II Kaltara 2026,” katanya.
PORWADA kali ini juga menyaksikan sejarah tercipta apabila mendapat penyertaaan julung kali daripada Sabah, Malaysia iaitu daripada Persatuan Jaringan Media Sabah (NUANSA). - DAKWAT RAKYAT POST
