LAHAD DATU – Isu pembinaan Masjid Palm Height yang menjadi perhatian susulan perintah Mahkamah Tinggi Tawau menghentikan sementara kerja-kerja pembinaan akan diteliti secara menyeluruh oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan penyelesaiannya dibuat mengikut lunas undang-undang serta mengambil kira kepentingan semua pihak.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Haji Mohd Arifin Arif berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Insya-Allah, saya akan berbincang dengan SKN dan pihak JHEAINS. Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Jelajah Aspirasi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) di Lahad Datu, yang merupakan siri ke-16 daripada 25 daerah yang dijadualkan dilawati di seluruh Sabah.
Isu tapak cadangan pembinaan Masjid Palm Height menjadi perhatian selepas Mahkamah Tinggi Tawau dilaporkan mengeluarkan perintah menghentikan sementara kerja-kerja pembinaan susulan pertikaian berhubung lokasi projek berkenaan.
Pertikaian itu tercetus apabila timbul dakwaan bahawa tapak pembinaan masjid berkenaan terletak di kawasan Open Space B, iaitu kawasan yang diperuntukkan sebagai ruang rekreasi awam dalam pelan pembangunan Taman Perumahan Palm Height.
Perkembangan tersebut mencetuskan perdebatan dalam kalangan penduduk setempat dan menarik perhatian pelbagai pihak yang menggesa agar isu berkenaan diselesaikan secara adil, telus serta mematuhi peruntukan undang-undang.
Dalam perkembangan lain, Arifin berkata KKTP Sabah terus memperkukuh pemantauan terhadap projek perumahan yang lewat, terbengkalai serta isu berkaitan hak milik strata bagi memastikan kepentingan pembeli rumah terus terpelihara.
Menurut beliau, beberapa projek pembangunan perumahan termasuk di sekitar Kota Kinabalu telah dikenal pasti memerlukan perhatian segera, dan kementerian kini sedang meneliti setiap isu secara menyeluruh.
Katanya, laporan terperinci akan diperoleh daripada pegawai daerah yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengenal pasti punca permasalahan sebelum tindakan susulan diambil.
“Saya yakin pihak berkuasa tempatan sedang berusaha mencari jalan terbaik untuk mengatasi isu-isu berkenaan.
“Kementerian akan terus memantau dan mengenal pasti langkah yang sesuai bagi membantu golongan yang terkesan,” katanya.
Mengulas mengenai Jelajah Aspirasi KKTP, Arifin berkata program itu memberi peluang kepada kementerian turun padang bagi menilai sendiri pelaksanaan projek pembangunan selain mendengar isu serta cabaran yang dihadapi setiap PBT.
Menurutnya, siri jelajah itu akan diteruskan ke Kunak sebelum merangkumi beberapa daerah di Pedalaman Atas termasuk Tambunan, Tenom, Nabawan dan Keningau, sebelum berakhir di daerah-daerah Pantai Barat termasuk Ranau.
Terdahulu, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Lahad Datu, Harun Ariffin, menyampaikan taklimat mengenai pelan pembangunan daerah serta isu dan cabaran yang sedang dihadapi pihak majlis dalam usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
