PUTATAN, 10 Julai 2026 – Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 di Parlimen Putatan disaran membuat pilihan bijak dalam menentukan laluan pengajian dan kerjaya bagi memastikan mereka mampu memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, kecemerlangan yang dicapai ketika di bangku sekolah perlu diteruskan ke peringkat institusi pengajian tinggi dan seterusnya diterjemahkan dalam dunia pekerjaan demi menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara.
Menurut beliau, perubahan landskap pekerjaan ketika ini menuntut generasi muda menguasai bidang yang mempunyai permintaan tinggi, termasuk teknologi berasaskan Kecerdasan Buatan (AI), yang kini semakin meluas penggunaannya dalam pelbagai sektor.
Katanya, bidang berkenaan wajar diterokai secara berterusan agar lebih ramai anak muda di Putatan memiliki kemahiran yang relevan dengan kehendak industri masa kini dan akan datang.
“Para lepasan STPM perlu membuat pilihan subjek dengan teliti sekiranya ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Begitu juga apabila menerima tawaran pekerjaan, pilihlah bidang dan kemahiran yang mempunyai permintaan dalam pelbagai industri.
“Usaha ini penting bagi melahirkan masyarakat berilmu dan berkemahiran tinggi, sekali gus meningkatkan daya saing Putatan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Pelajar Cemerlang STPM 2025 yang berlangsung di Hotel Pan Borneo, Putatan.
Dalam majlis berkenaan, seramai 44 pelajar cemerlang STPM 2025 dari kawasan Parlimen Putatan menerima sumbangan penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang mereka dalam peperiksaan tersebut.
Penerima terdiri daripada pelajar dari SMK Putatan, SMK Sanzac dan SMK La Salle yang berjaya mencatat keputusan memberangsangkan dalam peperiksaan STPM 2025. – DAKWAT RAKYAT POST
