Katanya, selebihnya warga asing ditahan membabitkan wanita disyaki GRO terdiri daripada 33 warga Vietnam, Thailand (satu) dan selebihnya pekerja lelaki iaitu 10 warga Bangladesh, Myanmar (empat), dan China seorang.
Sementara itu tinjauan di lokasi mendapati premis itu mempunyai 14 bilik yang beroperasi dengan sejumlah lagi bilik didapati dalam proses pembinaan di bahagian tertutup premis terbabit.
Premis itu turut mempunyai beberapa pintu belakang yang dijadikan laluan tikus sekiranya berlaku serbuan di mana tiga lapisan pintu besi di laluan masuk utama direka khas untuk melengahkan pihak berkuasa bagi memberi peluang pelanggan serta GRO melarikan diri.
Bagaimanapun hasil kecekapan pegawai bertugas kesemua laluan tikus terbabit sudah dikesan lebih awam dan dikawal rapi oleh pasukan serbuan sekali gus menggagalkan cubaan mereka melarikan diri.
Seorang wanita tempatan berusia 50-an disyaki sebagai ‘mummy’ yang menguruskan GRO warga asing terbabit pada awalnya tidak mengaku terbabit kegiatan itu dan mendakwa pelayan terbabit datang bekerja secara sukarela di premis berkenaan.
“Bukan saya yang bawa, mereka (GRO) datang sendiri, mungkin datang dengan teman lelaki. Saya tidak tahu apa mereka buat di dalam saya cuma layan pelanggan masuk sahaja.
“Saya tak tahu berapa bayaran, apa mereka buat dalam bilik itu tak ada kena mengena dengan saya, saya cuma kerja sahaja di sini, saya bukan jaga mereka (GRO),” katanya.
Bagaimanapun beberapa pelanggan yang ditemui menafikan gadis-gadis di dalam bilik KTV datang bersama mereka dan rata-rata mengakui GRO warga asing terbabit disediakan pihak premis.
Wartawan cuba menemubual beberapa GRO warga asing yang ditahan namun kesemua mereka mendakwa tidak pandai bertutur Bahasa Malaysia mahupun Bahasa Inggeris.
Mengulas lanjut Hamsha berkata kesemua warga asing dan tempatan terbabit ditahan manakala 19 pengunjung warga tempatan turut diberikan notis saman saksi untuk hadir ke JIM Kuala Lumpur bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Serbuan itu membabitkan 40 pegawai dan anggota daripada JIM Kuala Lumpur serta sejumlah pegawai daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Kredit sumber: Harian Metro
