KUALA LUMPUR: Sindiket penyeludupan migran, Geng Karim yang disyaki mengaut untung jutaan ringgit, lumpuh selepas premis dijadikan tempat persembunyian dan rumah transit diserbu dalam operasi di lot kedai di Cheras, di sini, Rabu lalu.
Jabatan Imigresen dalam satu kenyataan berkata, sindiket terbabit dipercayai mengenakan caj tambang mencecah RM15,000 bagi setiap migran yang diseludup masuk ke Malaysia.
“Sindiket dianggarkan sudah mengaut keuntungan sekitar RM3.2 juta sejak beroperasi awal Januari lalu.
“Dalam serbuan itu 16 warga asing yang terdiri dari 15 warga Bangladesh dan seorang Pakistan disyaki sebagai migran yang diseludup berjaya ditahan.
“Berdasarkan maklumat awal, imigran terbabit dipercayai berjaya diseludup masuk ke Malaysia pada hari yang sama melalui laluan haram di sekitar Pantai Timur,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Katanya, migran yang berjaya diseludup masuk melalui kawasan Pantai Timur kemudian akan dibawa ke rumah transit di Lembah Klang menggunakan jalan darat.
Imigresen berkata, tiga lelaki Bangladesh disyaki ahli yang berperanan sebagai penjaga rumah transit dan dalang utama di Malaysia antara ditahan dalam serbuan itu.
“Modus operandi sindiket ini yang dipercayai aktif sejak Januari lalu sangat kompleks dan terancang memandangkan migran yang diseludup dipercayai dibawa masuk ke Kemboja terlebih dahulu.
“Kemudian mereka diseludup melalui Kemboja ke Selatan Thailand, seterusnya diseludup masuk ke Malaysia melalui sempadan di Kelantan,” katanya.
Pasukan serbuan turut menyita kenderaan disyaki digunakan untuk kegiatan jenayah sindiket terbabit.
Kesemua individu ditahan berusia lingkungan 20 ke 52 tahun dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya bagi membantu siasatan lanjut mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007(ATIPSOM).
Kredit sumber: Berita Harian
