KOTA KINABALU: Jumlah koloni setinggan di Sabah terus menunjukkan trend penurunan dengan Kota Kinabalu merekodkan pengurangan paling ketara apabila jumlah koloni menurun daripada 49 kepada 21 hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan negeri.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, perkembangan itu dicapai menerusi tindakan bersepadu yang dilaksanakan di bawah Ops Setinggan Negeri Sabah 1.0 serta kerjasama pelbagai agensi di peringkat daerah.
Menurut beliau, Jawatankuasa Setinggan Daerah memainkan peranan penting dalam mengemukakan laporan terkini mengenai status koloni setinggan bagi membolehkan kerajaan mengambil tindakan susulan secara lebih berkesan.
“Maklumat yang dikemukakan oleh jawatankuasa setinggan dan pemimpin di daerah membolehkan kerajaan memantau perkembangan semasa. Berdasarkan laporan yang diterima, terdapat beberapa daerah mencatatkan penurunan jumlah koloni setinggan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Ehwal Setinggan Negeri Sabah yang berlangsung di Ballroom Foyer Hilton, Kota Kinabalu.
Mohd Arifin turut memaklumkan bahawa mesyuarat berkenaan akan diadakan setiap tiga bulan bagi memastikan perkembangan isu setinggan di seluruh negeri dapat dipantau secara berterusan.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan lebih 50 koloni telah berjaya diwartakan oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah sepanjang tahun lalu, sekali gus menjadi antara langkah penting dalam pengurusan penempatan setinggan di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri menghargai komitmen semua pihak yang terlibat dalam menyalurkan maklumat dan melaksanakan tindakan di lapangan bagi memastikan usaha menangani isu setinggan dapat diteruskan dengan lebih berkesan.
Berdasarkan pembentangan gerak kerja yang dibincangkan dalam mesyuarat itu, pelbagai pendekatan telah dilaksanakan termasuk pewartaan kampung, penyusunan semula penempatan, pemindahan penduduk ke kawasan berhampiran, operasi penguatkuasaan melalui pengusiran serta perobohan struktur haram, selain bancian semula di kawasan terlibat.
Selain itu, kerajaan turut merancang untuk mewartakan 30 kawasan kampung di beberapa daerah, manakala enam bancian baharu akan dilaksanakan di Sandakan bagi tujuan pengumpulan data sebelum penilaian lanjut dibuat.
Usaha berterusan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menangani isu setinggan secara menyeluruh menerusi pendekatan penguatkuasaan, perancangan penempatan dan pengurusan data yang lebih sistematik. – DAKWAT RAKYAT POST
