KOTA BHARU: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan menyita tujuh jentera berat bernilai lebih RM4 juta hasil serbuan di kawasan lombong haram di Kampung Pulai di Gua Musang, kelmarin.
Dalam operasi hasil maklumat awam dan risikan itu, tiga lelaki warga China ditahan untuk siasatan lanjut manakala beberapa pekerja lain dipercayai warga Indonesia sempat melarikan diri.
Menurut sumber, kegiatan perlombongan haram itu dipercayai berlaku di tanah seluas lebih tiga hektar yang dipercayai dilakukan sebuah syarikat dari China.
“Kita dapati pemilik tanah berkenaan mendakwa mempunyai permit melombong sebelum menawarkan kepada syarikat berkenaan untuk melakukan kegiatan itu.
“Sedangkan, pemilik tanah itu tidak mempunyai sebarang permit yang dimohon daripada PTG, sebaliknya surat yang dikeluarkan kepada sebuah syarikat dari China itu hanya surat beliau selaku pemilik tanah.
“Sehubungan itu kita sedang mengesan pemilik tanah berkenaan untuk siasatan lanjut dan kita percaya kegiatan itu baru dilakukan sejak dua minggu lalu,” katanya.
Sumber sama berkata, pihaknya difahamkan pelombong mampu memperoleh purata sekitar 100 gram emas setiap hari di lokasi berkenaan.
“Pihak syarikat mendakwa mereka baru tiga hari melombong di kawasan berkenaan, namun siasatan lanjut masih dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, antara jentera disita termasuk tiga jengkaut, lori, jentolak dan alat jana kuasa.
“Sehingga kini siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Enakmen Mineral 2001 & Undang-Undang berkaitan aktiviti melombong secara haram,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
