SANDAKAN, 26 Julai 2026 – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menggagalkan kegiatan penyimpanan rokok tidak berkastam selepas menyerbu sebuah premis di Bangunan Baru Bandar Sandakan, Jalan Old Slipway, pada Sabtu.
Dalam operasi yang dijalankan di sebuah premis di tingkat 10 bangunan berkenaan, pasukan pemeriksaan menemui dua bilik yang dipercayai dijadikan stor bagi menyimpan rokok seludup.
Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan sebanyak 187,480 batang rokok pelbagai jenama, termasuk rokok kretek dan rokok putih, yang dipercayai tidak berkastam.
Kesemua rokok tersebut telah dirampas dengan anggaran nilai keseluruhan melebihi RM229,000.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau menyimpan barangan yang dipercayai diseludup.
Sementara itu, statistik PPM Wilayah 4 Sabah bagi tempoh Januari hingga Julai 2026 menunjukkan sebanyak 42 kes penyeludupan rokok berjaya dikesan, membabitkan 30 tangkapan dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan mencecah RM6,030,176.66.
Pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan PPM Wilayah 4 Sabah dalam mempergiat usaha membanteras kegiatan penyeludupan yang bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah menjejaskan kutipan hasil negara.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Amri Abd. Rahman berkata, pihaknya akan terus memperkukuhkan operasi penguatkuasaan di lapangan selain meningkatkan kerjasama strategik bersama agensi berkaitan bagi mengekang aktiviti penyeludupan secara lebih berkesan.
Menurut beliau, tindakan berterusan itu penting bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara di samping melindungi kepentingan ekonomi daripada kegiatan penyeludupan yang semakin mencabar. – DAKWAT RAKYAT POST
