ZURICH: Kad merah yang dilayangkan kepada penyerang Switzerland, Breel Embolo ketika aksi suku akhir Piala Dunia menentang Argentina bulan ini disahkan sebagai satu kesilapan oleh Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB).
Menerusi pekeliling dikeluarkan IFAB, keputusan mengarahkan Embolo meninggalkan padang selepas menerima kad kuning kedua ketika kedudukan terikat 1-1 adalah tidak tepat.
Switzerland yang beraksi dengan 10 pemain akhirnya tewas 1-3 kepada Argentina selepas lawan itu meledak dua gol pada masa tambahan dalam perlawanan di Kansas City.
Insiden itu berlaku selepas Embolo, 29, terjatuh susulan cabaran pemain tengah Argentina, Leandro Paredes.
Pengadil Joao Pinheiro pada awalnya melayangkan kad kuning kepada Paredes kerana menganggap berlaku kekasaran.
Bagaimanapun, selepas campur tangan Video Bantuan Pengadil (VAR), pengadil diberitahu Paredes tidak melakukan kesalahan, sebelum kad kuning diberikan kepada Embolo atas dakwaan melakukan simulasi.
IFAB menjelaskan VAR hanya boleh digunakan untuk membetulkan kesilapan mengenal pasti pemain yang menerima kad, tetapi tidak boleh digunakan untuk menilai semula kesalahan yang berlaku.
“Kad kuning yang bukan kad kuning kedua hanya boleh disemak bagi mengenal pasti pemain yang melakukan kesalahan yang dihukum, tetapi kesalahan itu sendiri tidak boleh disemak atau diubah,” kata IFAB.
Badan berkenaan turut memaklumkan penggunaan klausa kesilapan identiti bagi menangani kes simulasi ketika Piala Dunia 2026 akan dikaji semula dalam protokol VAR, namun ia belum boleh digunakan sehingga semakan itu selesai.
Jurulatih Switzerland, Murat Yakin sebelum ini menyifatkan peraturan yang menyebabkan Embolo dilayangkan kad merah sebagai “tidak boleh diterima” selepas impian pasukannya mara ke separuh akhir Piala Dunia buat kali pertama berkubur.
“Ia merosakkan permainan kami hari ini. Kami perlu menerimanya, tetapi amat menyakitkan untuk kalah dengan cara sebegini,” katanya.
Argentina yang merupakan juara bertahan akhirnya gagal mempertahankan kejuaraan selepas tewas kepada Sepanyol dalam final.
Kredit sumber: REUTERS/Berita Harian
