Kuala Lumpur: Zaki Ubaidillah berjaya mengatasi kegugupan untuk menghadiahkan mata kemenangan ketika Indonesia bangkit daripada ketinggalan 0-2 sebelum mengejutkan China 3-2 bagi menamatkan penantian 28 tahun untuk meraih emas berpasukan lelaki badminton Sukan Asia, semalam.
Kali pertama beraksi di Sukan Asia, Zaki menewaskan Weng Hong Yang 23-21, 21-13 dalam tempoh 51 minit di Ichinomiya City Municipal Gymnasium, sekali gus melengkapkan kebangkitan luar biasa Indonesia yang dicetuskan seorang lagi pemain baharu, Alwi Farhan.
Indonesia meraih gelaran keenam dan yang pertama sejak Bangkok 1998, sekali gus menafikan hasrat juara bertahan, China untuk mencipta kejuaraan ketiga berturut-turut.
“Sudah tentu ada tekanan dan saya berasa gementar pada awal permainan.
“Namun, saya terus meyakinkan diri supaya kekal tenang di gelanggang dan jurulatih juga membantu saya untuk terus fokus serta mengawal emosi,” kata Zaki.
China hampir mengesahkan emas selepas Shi Yuqi menewaskan Jonatan Christie 21-13, 21-18 dalam tempoh 47 minit, sebelum Liang Wei Keng-Wang Chang mengatasi Fajar Alfian-Shohibul Fikri 22-20, 19-21, 21-14 dalam aksi yang berlangsung 71 minit.
Dengan Indonesia memerlukan kemenangan dalam ketiga-tiga perlawanan berikutnya, Alwi menghidupkan kembali cabaran mereka apabila menewaskan Li Shi Feng 23-21, 15-21, 21-16 dalam pertarungan perseorangan kedua yang berlangsung 87 minit.
Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin kemudian menewaskan He Ji Ting-Liu Yi 23-21, 21-10 dalam tempoh 44 minit untuk menyamakan kedudukan 2-2 dan membuka peluang kepada Zaki untuk mengesahkan emas.
Zaki terlebih dahulu mengatasi tentangan sengit pada set pertama sebelum memenangi set kedua dengan lebih selesa untuk melengkapkan kebangkitan Indonesia ke atas juara Piala Thomas itu.
“Saya bercakap kepada diri sendiri dan mengingatkan bahawa saya mampu melakukannya, saya mahu terus berjuang dan perlu mengeluarkan segala kemampuan yang sudah saya persiapkan sejak awal,” katanya.
Kejayaan itu menjadi penebus kekecewaan buat Indonesia selepas mereka tersingkir pada peringkat kumpulan Piala Thomas buat kali pertama pada April lalu susulan kekalahan 1-4 kepada Perancis.
Tidak sampai lima bulan kemudian, Indonesia merampas kembali kejuaraan benua itu, selain menambah koleksi gelaran yang dimenangi pada 1962, 1970, 1978, 1994 dan 1998.
Kredit sumber: Harian Metro
