KUALA LUMPUR: Pengarah syarikat memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini hari ini beliau percaya Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berperanan membantu syarikat diasaskan beliau dianugerahkan projek di bawah Program Jana Wibawa bernilai RM141 juta.
Pengarah syarikat Metrasys Sdn Bhd, Lian Tan Chuan, 55, yang membaca pernyataan saksinya ketika memberikan keterangan, berkata ia menyebabkan beliau memberikan sumbangan RM1 juta kepada parti BERSATU, di atas permintaan ahli perniagaan, Datuk Azman Yusoff.
Tan Chuan yang juga saksi pendakwaan ke-21 berkata, beliau percaya peranan Perdana Menteri kerana surat permohonan awal syarikatnya, Nepturis Sdn Bhd dihantar kepada Muhyiddin untuk disokong sehingga melalui proses penilaian di Kementerian Kewangan (MOF).
“Sekiranya Tan Sri Muhyiddin tidak menyokong surat permohonan berkenaan, saya percaya permohonan saya tidak akan sampai ke MOF untuk di proses dan dinilai.
“Semasa memohon projek IPD Klang (Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor) ini, saya menggunakan bantuan Adam (bekas Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad) untuk mendapatkan minit sokongan daripada Tan Sri Muhyiddin bagi permohonan projek oleh syarikat saya,” katanya.
Disoal Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, pada sesi pemeriksaan utama, mengenai mengapa beliau berani menyumbangkan RM1 juta, saksi itu menjawab, “Saya sudah kira untung.”
Ditanya lanjut mengapa beliau membuat sumbangan itu sedangkan belum menerima Surat Setuju Terima (SST), Tan Chuan berkata, “Saya sudah berjanji dengan Datuk Azman.”
Tan Chuan berkata, sekiranya syarikat Nepturis tidak berjaya dianugerahkan Projek IPD Klang Utara, beliau tidak akan membuat sebarang sumbangan kepada BERSATU.
Saksi itu berkata, ia adalah pertama kali syarikatnya membuat sumbangan berkenaan, di mana sebelum ini Nepturis tidak pernah membuat sumbangan kepada mana-mana parti politik.
Tan Chuan berkata demikian ketika memberikan keterangan terhadap Muhyiddin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan membabitkan suapan RM232.5 juta dan menerima wang RM200 juta hasil aktiviti haram berkaitan Projek Jana Wibawa.
Sementara itu, Tan Chuan berkata, beliau dimaklumkan Azman yang juga Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera, bahawa syarikat yang ingin memohon projek di bawah Program Jana Wibawa perlu mendapat sokongan daripada Perdana Menteri.
Beliau menjelaskan, perkara itu dinyatakan Azman ketika berjumpa dengan ahli perniagaan itu untuk bertanya mengenai peluang projek kerajaan ketika negara dilanda COVID-19 pada pertengahan 2020.
“Saya bertanya kepada Datuk Azman kerana beliau seorang daripada ahli Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Datuk Azman ada beritahu, kerajaan meluluskan satu program iaitu Program Jana Wibawa.
“Saya memaklumkan minat saya untuk mendapatkan projek di bawah program itu kerana saya juga ada syarikat pembinaan bertaraf Bumiputera iaitu Nepturis yang diuruskan rakan kongsi saya iaitu Rizman (Mohd Rizman Akum Khan) dan Aliza (Aliza Abd Malek),” katanya.
Tan Chuan berkata, Azman ada menceritakan kepadanya bahawa Adam Radlan adalah kawan rapat yang juga rakan golf kepada Muhyiddin dan boleh membantu untuk mendapatkan projek di bawah Program Jana Wibawa.
Beliau berkata, pada pertemuan dengan Adam Radlan di Publika, di sini yang diaturkan Azman pada Disember 2020, Adam memberitahunya bahawa dia (Adam) mempunyai hubungan rapat dengan Muhyiddin dan boleh membantu syarikatnya mendapatkan projek.
Katanya, Adam Radlan kemudian memintanya menyediakan surat permohonan dan profil syarikat kepada Muhyiddin iaitu Pejabat Perdana Menteri bagi menjalankan Projek Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor secara Pra-Kelayakan untuk urusan minit sokongan daripada Muhyiddin.
Selepas berbincang dengan Rizman dan Aliza dan semuanya bersetuju untuk memohon projek itu, saksi berkata, beliau meminta Aliza menyediakan lima surat permohonan bagi lima syarikat.
Katanya, selepas surat berkenaan dihantar, Adam Radlan memaklumkan bahawa Muhyiddin sudah meminitkan sokongan kepada surat permohonan syarikatnya.
“Saya percaya syarikat berpeluang besar mendapatkan projek itu kerana biasanya apabila surat permohonan disokong oleh Perdana Menteri, kementerian dan agensi lain akan memproses permohonan itu melalui penilaian dan perolehan mengikut tatacara Pra-Kelayakan,” katanya.
“Azman meminta saya untuk membuat sumbangan RM1 juta terus dibayar kepada akaun BERSATU sekiranya syarikat saya berjaya dianugerahkan projek IPD Klang kerana Adam telah meminta sokongan daripada Presiden BERSATU yang juga Perdana Menteri.
“Saya menyatakan persetujuan untuk memberikan sumbangan kepada BERSATU sekiranya syarikat saya dianugerahkan projek IPD Klang Utara,” katanya.
Tan Chuan berkata, pada 12 Januari 2022, Nepturis memenangi tender Pra- kelayakan bagi projek IPD Klang Utara dan (Jabatan Kerja Raya (JKR) mengeluarkan SST.
Katanya, pada 16 Januari 2022, beliau meminta Rizman untuk menyediakan cek daripada Nepturis berjumlah RM1 juta untuk dibayar kepada BERSATU dan pada hari sama, beliau menyerahkan cek itu kepada Azman.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.
Kredit sumber: Berita Harian / Disiarkan pada Julai 28, 2026 @ 5:56pm
