KUALA LUMPUR: Filem epik arahan Christopher Nolan, The Odyssey, terus mencipta fenomena apabila mencatat kutipan global sebanyak AS$639.6 juta (kira-kira RM2.6 bilion) selepas dua minggu ditayangkan di pawagam.
Daripada jumlah itu, AS$353.2 juta (RM1.44 bilion) disumbangkan pasaran antarabangsa, manakala AS$284.4 juta (RM1.16 bilion) diperoleh di Amerika Utara, lapor portal Variety.
Filem adaptasi puisi epik Yunani purba karya Homer itu menampilkan Matt Damon sebagai Raja Ithaca, Odysseus, yang memulakan pengembaraan pulang ke tanah air selepas Perang Trojan.
Pencapaian itu disifatkan luar biasa berikutan The Odyssey ialah filem pengembaraan epik berdurasi hampir tiga jam dengan klasifikasi penonton dewasa, sekali gus mengukuhkan reputasi Nolan sebagai antara pengarah paling berpengaruh dan berjaya menjana kutipan tinggi di Hollywood.
Sepanjang hujung minggu lalu sahaja, The Odyssey meraih AS$128.3 juta (RM524 juta) daripada 81 pasaran antarabangsa dengan penurunan kutipan sekitar 10 peratus berbanding minggu pertama.
Menurut Universal Pictures yang menerbitkan filem itu dengan kos sekitar AS$250 juta (RM1.02 bilion), pencapaian berkenaan menjadikannya filem yang mencatat pegangan kutipan minggu kedua terbaik bagi naskhah yang membuka tayangan melebihi AS$100 juta (RM408 juta).
Malah, kutipan antarabangsa The Odyssey kini mengatasi Project Hail Mary yang mengumpul AS$340 juta (RM1.38 bilion), sekali gus meletakkannya dalam kelompok lima filem Hollywood dengan kutipan tertinggi tahun ini.
Lebih membanggakan, pencapaian itu diraih sebelum filem berkenaan memulakan tayangan di beberapa pasaran utama termasuk China, Jepun dan Korea Selatan.
Setakat ini, United Kingdom (UK) dan Ireland muncul sebagai pasaran terbesar dengan kutipan AS$46.3 juta (RM188 juta), diikuti Perancis sebanyak AS$31.8 juta (RM129 juta), Itali AS$28.8 juta (RM117 juta), Australia AS$20.6 juta (RM84 juta) dan Jerman AS$20.4 juta (RM83 juta).
Dalam perkembangan sama, format tayangan IMAX turut memainkan peranan besar apabila menyumbang kutipan AS$140 juta (RM572 juta) di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IMAX, Richard Gelfond, berkata Nolan sekali lagi membuktikan kemampuannya menghasilkan karya yang mendorong penonton kembali ke pawagam berulang kali.
Kredit sumber: AGENSI/Berita Harian
