Kuala Lumpur: Anak Malaysia dari Sabah dikenali sebagai Dielo, 25, mampu berbangga apabila mengharumkan nama Malaysia di kejohanan Dance World Cup Finals 2026 di Dublin, Ireland pada Julai lalu.
Dielo atau nama sebenar Mohd Aydiel Izzuddin Madri berkata, dia amat bersyukur kerana muncul juara dalam acara berprestij di peringkat antarabangsa itu, sekali gus menewaskan kira-kira 11,500 penari lain dari seluruh dunia.
“Pada mulanya, saya adalah pengajar kepada dua penari muda iaitu Tiara dan Ivana Iman yang dipilih menyertai kejohanan tarian di Dublin itu. Maka, saya fikir kenapa tidak cuba juga sebab ini pun ‘final year’ kerana umur sudah 25 tahun.
“Saya pun nekad menyertainya atas nama Yolanda Dance Studio dan Persatuan Arusan Tari Malaysia (IEF). Dari situlah bermula segala peluang saya untuk ketengahkan bakat tarian di luar negara,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya perasaannya berdepan saingan daripada 11,500 penari lain daripada kelayakan awal hingga kemuncak ‘final’, Dielo berkata, dia berasa agak gementar.
“Tetapi, syukur rezeki juara menjadi milik saya dan Malaysia dalam kategori Senior Solo National and Folklore (Lelaki). Selain itu, saya juga dinobatkan juara persembahan terbaik keseluruhan.
“Alhamdulillah, apabila saya menerima anugerah paling berprestij pertandingan iaitu Grand Finals Winner Senior Male 2026 yang diberikan kepada persembahan lelaki senior terbaik sepanjang kejohanan,” katanya.
Katanya, kejayaan besar diraihnya dilihat mampu memainkan peranan utama dalam pembangunan industri tarian tempatan kerana dia juga adalah pengasas dan ketua pasukan Illeagle Freedom, selain memegang jawatan Pengerusi Persatuan Arusan Tari Malaysia.
Sementara itu, Dielo berkata, dia mula minat menari sejak berusia lima tahun menerusi tarian tradisional Melayu seperti joget, zapin, inang dan sebagainya.
“Ketika saya kecil, bapa yang mengajar menari kerana saya mewarisi bakat seni tari daripada ibu bapa. Apatah lagi, saya pula anak bongsu daripada lima beradik dan memang serius dalam menari.
“Bagaimanapun, saya mula menyertai pertandingan menari ketika usia lapan tahun di Sabah menerusi tarian moden.
“Tetapi, saya melihat kejayaan dalam tarian ini sedikit-sebanyak mungkin juga mewarisi bakat menari bapa, Madri Talih dan ibu, Fauziah@ Natashah Ismail,” katanya.
Baru-baru ini, nama Dielo tular di media sosial dan menjadi perhatian ramai apabila ditemubual oleh segmen Bekpes Hot di stesen radio Hot FM bagi berkongsi kejayaannya dalam bidang tarian di peringkat dunia.
Kredit sumber: Harian Metro
