TAWAU, 2 Ogos 2026 – Isu bekalan air yang sekian lama membelenggu penduduk Tawau dijangka dapat diatasi menjelang penghujung tahun 2027 apabila Projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa III bernilai RM450.5 juta siap sepenuhnya mengikut jadual.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, projek yang merangkumi pembinaan Empangan Air Tawau bagi membekalkan sumber air mentah kepada Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 1 dan 2 itu menunjukkan perkembangan positif serta berada pada landasan yang ditetapkan.
Menurut beliau, walaupun kontraktor mengemukakan permohonan lanjutan tempoh pelaksanaan, kerajaan negeri tetap yakin projek tersebut dapat disiapkan sebelum penghujung tahun depan seperti yang dirancang.
“Kita melihat kemajuan projek ini sangat memberangsangkan dan ia masih mengikut jadual. Yang penting, sasaran kita adalah untuk memastikan projek ini siap sebelum akhir tahun 2027.
“Masalah bekalan air ini adalah isu yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu. Namun sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita mengambil langkah sewajarnya dengan menyediakan peruntukan bagi memastikan rakyat mendapat kemudahan bekalan air yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan Empangan Air Tawau dan Loji Rawatan Air Cinta Mata, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri juga bersedia mempertimbangkan tambahan peruntukan sekiranya diperlukan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar, tertakluk kepada penilaian serta laporan daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Beliau berkata, berdasarkan taklimat yang diterima, kerajaan berpuas hati dengan prestasi semasa projek serta pencapaian kontraktor yang melaksanakannya.
Dalam lawatan itu, Hajiji turut menerima taklimat mengenai pelaksanaan Skim Bekalan Air Tawau Fasa III dan pembangunan infrastruktur bekalan air utama daerah Tawau yang disampaikan Ketua Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Pengurus Projek Ibu Pejabat JANS, Rodney Tinggas.
Beliau turut diberi penerangan mengenai situasi banjir di kawasan perbandaran Tawau serta perancangan projek mitigasi banjir oleh Jurutera Daerah JPS Tawau, Syahzarul Rizal Joddari.
Menurut JANS, projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa III yang bernilai RM450.5 juta telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 74.04 peratus setakat 25 Julai lalu, mengatasi sedikit jadual asal yang mencatatkan 73.89 peratus.
Projek berkenaan melibatkan pembinaan sebuah empangan berkapasiti 30 juta meter padu air mentah serta pemasangan paip air mentah sepanjang 11.6 kilometer berdiameter 700 milimeter.
Apabila siap kelak, empangan itu akan membekalkan sumber air mentah kepada LRA Cinta Mata 1, LRA Cinta Mata 2 dan LRA Utara, sekali gus membolehkan kapasiti pengeluaran air terawat mencecah 161 juta liter sehari.
JANS memaklumkan projek tersebut bertujuan menjamin bekalan air mentah yang lebih stabil kepada loji-loji rawatan, mengurangkan risiko kekurangan air ketika musim kemarau serta menyediakan sumber air mentah yang mampan untuk keperluan jangka panjang.
Selain memastikan bekalan air mentah mencukupi kepada loji sedia ada, projek itu juga dijangka meningkatkan kualiti air melalui sistem takungan empangan yang lebih terkawal serta membantu mengurangkan risiko banjir di kawasan hilir Tawau.
Projek yang dilaksanakan oleh Citic Wijaya Construction itu dijadualkan siap pada 21 Oktober 2027.
Dalam lawatan sama, Ketua Menteri turut diberi taklimat mengenai kemajuan pembinaan LRA Cinta Mata 2 yang kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 16.08 peratus setakat 25 Julai lalu.
Projek bernilai RM299.9 juta itu melibatkan pembinaan loji rawatan air berkapasiti 30 juta liter sehari, dua tangki simpanan air berkapasiti 20 juta liter dan 10 juta liter serta pemasangan paip air terawat sepanjang 12 kilometer dengan saiz antara 150 milimeter hingga 800 milimeter.
Menurut JANS, pembinaan loji baharu itu bertujuan meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat, menjamin bekalan air bersih yang lebih stabil serta memastikan bekalan berterusan kepada pengguna di daerah berkenaan.
LRA Cinta Mata 2 dijangka siap pada 22 Julai 2028 dan bakal memberi manfaat kepada kira-kira 42,000 pengguna di Tawau dan kawasan sekitarnya.
Ketika ini, daerah Tawau mempunyai 53,133 akaun pengguna air berdaftar dengan rangkaian paip sepanjang hampir 983 kilometer. Bagaimanapun, kapasiti pengeluaran air semasa hanya 130 juta liter sehari berbanding permintaan sebanyak 142 juta liter sehari.
JANS turut memaklumkan beberapa cabaran utama yang masih dihadapi sistem bekalan air Tawau termasuk kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang tinggi iaitu 68 peratus, paip usang, kegiatan kecurian air, kekurangan tangki simpanan, peralatan mekanikal dan elektrikal yang uzur, isu kualiti serta kuantiti sumber air mentah, kekangan logistik dan pelaksanaan catuan bekalan air. – DAKWAT RAKYAT POST
