TAWAU, 2 Ogos 2026 – Pelabuhan Tawau terus diperkasa menerusi pemerolehan dua kren dermaga (quay crane) baharu bernilai RM70 juta, sekali gus menjadi langkah penting dalam usaha memperkukuh keupayaan logistik maritim dan merancakkan pertumbuhan ekonomi Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pelaburan yang dilaksanakan menerusi Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menaik taraf infrastruktur strategik bagi meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan, khususnya di Pantai Timur Sabah.
Menurut beliau, kedua-dua kren berkenaan dijangka memberi impak besar terhadap produktiviti operasi Pelabuhan Tawau sebaik sahaja mula digunakan.
“Ia akan meningkatkan kecekapan pengendalian kargo, mempercepatkan tempoh pusingan kapal, mengurangkan masa menunggu serta membolehkan pelabuhan mengendalikan kapal yang lebih besar dan jumlah kargo yang semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan dua kren dermaga baharu di Pelabuhan Tawau, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, sistem pelabuhan yang moden dan cekap merupakan antara elemen penting dalam menyokong pertumbuhan sektor ekonomi, khususnya industri berorientasikan eksport yang menjadi penyumbang utama kepada pembangunan negeri.
Katanya, penaiktarafan kemudahan di Pelabuhan Tawau turut dijangka memperkukuh kedudukannya sebagai pintu masuk maritim utama di Pantai Timur Sabah, selain meningkatkan jaringan perdagangan dengan pasaran domestik dan serantau.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Sabah Ports Sdn Bhd, Suria Capital Holdings Berhad serta semua pihak yang terlibat kerana terus komited mempertingkatkan kemudahan infrastruktur maritim demi menyokong agenda pembangunan Sabah.
Sementara itu, Pengerusi Suria Capital Holdings Berhad, Datuk Seri Panglima Abd Rahman Dahlan berkata, pelaburan RM70 juta itu mencerminkan kesungguhan syarikat dalam membangunkan infrastruktur strategik yang mampu memenuhi keperluan perdagangan masa depan.
Menurutnya, Pelabuhan Tawau mempunyai peranan penting dalam menyokong aktiviti perdagangan, sektor perindustrian dan hubungan ekonomi serantau di Pantai Timur Sabah.
“Pelaburan ini bertujuan memastikan pelabuhan dilengkapi kemudahan dan peralatan yang mencukupi bagi menampung peningkatan permintaan perdagangan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Tawau dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan Suria Capital Holdings Berhad merangkap Sabah Ports Sdn Bhd, Datuk Ahmad Rizal Dahli pula berkata, pemerolehan kren baharu itu adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang syarikat untuk memodenkan Pelabuhan Tawau.
Beliau berkata, penggunaan kren berkenaan bakal meningkatkan kecekapan dan kebolehpercayaan operasi pengendalian kargo, di samping mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan pelabuhan serta memenuhi keperluan sektor perdagangan dan logistik Sabah yang semakin berkembang.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; serta Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Datuk Donald Mojuntin. – DAKWAT RAKYAT POST
