Ipoh: Suami isteri antara tujuh individu yang ditahan berhubung rampasan dadah jenis ketamin dan pil Erimin 5 bernilai lebih RM538,000 di sekitar Ipoh dan Tapah.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, suspek warga tempatan berusia 22 hingga 44 tahun ditahan dalam empat serbuan berasingan membabitkan dua serbuan di sebuah pusat hiburan di Ipoh, serta dua serbuan di premis rumah sekitar kawasan Tapah antara 12.30 tengahari Selasa lalu hingga 3.05 pagi keesokannya.
Katanya, serbuan pertama dan kedua menahan enam individu termasuk dua daripadanya adalah suami isteri, dengan pemeriksaan menjumpai 20 paket plastik lutsinar berisi dadah ketamin dianggarkan seberat 24.14 gram (g) serta 17 paket bungkusan termasuk bungkusan berisi dadah jenis MDMA seberat 574.81g.
Mohd Alwi berkata, hasil soal siasat membawa kepada serbuan ketiga di sebuah rumah di Tapah dan menemui 71 paket lutsinar berisi serbuk dadah MDMA seberat 2.502 kilogram (kg) serta sepaket plastik lutsinar berisi ketamin seberat 4.06g.
Menurutnya, serbuan keempat dibuat ke atas sebuah rumah di kawasan Bukit Pagar, Tapah dengan berjaya menahan seorang lelaki tempatan, selain turut menemukan pelbagai jenis dadah di rumah itu antaranya 151.62g serbuk dadah MDA serta 9.68g dadah ketamin.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM538,451. Dadah yang dirampas boleh merosakkan seramai 23,332 orang penagih, dengan kegiatan suspek dipercayai sejak Jun lalu,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak dan Ketua Polis Daerah (KPD) Taiping di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak, di sini hari ini.
Serahterima tugas itu membabitkan Asisten Komisioner Mohd Ridzuan Nor Ihsan yang kini dilantik sebagai Ketua JSJK Perak sesudah memangku jawatan itu, serta Asisten Komisioner S Saravanan sebagai Ketua Polis Daerah Taiping.
Kata Mohd Alwi, tindakan pelucuthakan harta turut diambil dengan menyita tiga unit kereta bernilai RM224,000 serta wang tunai RM32,376.
Beliau berkata, modus operandi yang digunakan suspek adalah menjadikan pusat hiburan sebagai tempat penjualan dadah, dengan ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada suspek yang ditahan positif dadah amphetamin dan methamphetamin.
Menurutnya, hasil semakan mendapati enam daripada semua tujuh suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Akta Dadah Berbahaya 1952, di mana suspek yang ditahan dalam serbuan pertama dan kedua direman empat hari hingga Sabtu ini, manakala seorang yang ditahan dalam serbuan keempat direman tiga hari sehingga esok (Jumaat).
Kredit sumber: Harian Metro/Disiarkan pada Ogos 6, 2026 @ 3:03pm
