PENAMPANG: Kerajaan Sabah akan terus memperjuangkan pelaksanaan sepenuhnya hak pemberian 40 peratus daripada hasil bersih yang diperoleh Kerajaan Persekutuan dari Sabah, selaras dengan peruntukan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata tuntutan berkenaan akan terus dibawa melalui rundingan kerajaan dengan kerajaan (G to G) bersama Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, hak 40 peratus itu merupakan antara hak terbesar Sabah yang termaktub dalam MA63, selain mempunyai asas perundangan melalui Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan saya akan terus menuntut pelaksanaan penuh pembayaran 40 peratus melalui proses rundingan Government to Government (G to G) dengan Kerajaan Persekutuan.
“Hak ini merupakan hak terbesar kita dalam MA63 dan turut termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Hak ini mesti ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun UPKO ke-32 dan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, Kompleks Kebudayaan Penampang (KDCA), malam tadi.
Hajiji berkata, pendirian Kerajaan Negeri berhubung tuntutan tersebut terus dibawa ke peringkat rundingan, termasuk dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 yang berlangsung di Putrajaya pada 3 Ogos lalu.
Katanya, Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick, turut menyertai mesyuarat berkenaan sebagai sebahagian daripada delegasi Kerajaan Negeri Sabah.
Dalam perkembangan berkaitan MA63, Hajiji berkata sebanyak 13 tuntutan telah berjaya dilaksanakan setakat ini.
Antaranya termasuk penyerahan kuasa kawal selia tenaga, pelesenan dan penangkapan ikan laut dalam, pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di bawah Arahan Perbendaharaan 182.
Turut dilaksanakan ialah perkara berkaitan pentadbiran badan kehakiman di Sabah, pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, tenaga buruh serta alam sekitar.
Bagaimanapun, katanya, tuntutan berkaitan pemberian 40 peratus itu masih belum dilaksanakan sepenuhnya, termasuk terdapat satu rayuan Kerajaan Persekutuan yang masih dalam proses di Mahkamah Rayuan.
Pada masa sama, Kerajaan Sabah menerima pelaksanaan bayaran secara interim yang sebelum ini berjumlah hanya RM26 juta, namun telah dinaikkan kepada RM1.5 bilion mulai tahun ini.
Hajiji berkata peningkatan bayaran interim itu disambut baik Kerajaan Negeri dan peruntukan tersebut akan disalurkan kepada pelbagai keperluan pembangunan serta kebajikan rakyat Sabah.
Antara keutamaan yang digariskan ialah pembinaan lebih banyak jalan raya berturap dan jambatan konkrit, selain penambahbaikan sistem bekalan air dan elektrik.
Peruntukan berkenaan turut membantu pelaksanaan agenda kebajikan rakyat, termasuk pembinaan lebih banyak Rumah SMJ dan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR).
“Apa yang kita perolehi daripada Kerajaan Persekutuan, akan kita pulangkan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk insentif dan bantuan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata Kerajaan Negeri turut memberi penekanan terhadap pengukuhan kedudukan kewangan Sabah serta usaha meningkatkan kutipan hasil negeri.
Katanya, kutipan hasil Sabah berjaya dikekalkan pada paras sekitar RM7 bilion setahun sejak 2022 dan jumlah itu dijangka meningkat kepada RM8 bilion pada tahun ini.
Menurut beliau, Sabah juga terus membina ketahanan ekonomi walaupun berdepan pelbagai cabaran di peringkat domestik dan global, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan strategik.
Beliau berkata, sektor pembuatan merekodkan nilai pelaburan sebanyak RM7.6 bilion pada 2025, iaitu peningkatan hampir 208 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, kemasukan pelaburan berimpak tinggi dijangka memberi kesan positif kepada ekonomi negeri melalui pembukaan lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak-anak Sabah.
Pada masa sama, aktiviti ekonomi dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana juga dijangka menerima manfaat daripada perkembangan pelaburan tersebut.
Hajiji berkata kerjasama strategik Kerajaan Negeri bersama PETRONAS menerusi Commercial Collaborative Agreement (CCA) turut memberi peluang kepada Sabah meningkatkan penyertaan dalam penerokaan dan pembangunan industri minyak dan gas.
Kerjasama itu juga membuka ruang kepada lebih banyak syarikat tempatan Sabah untuk mengambil bahagian dalam pembangunan industri berkenaan.
Katanya, Kerajaan Negeri kini dalam proses memuktamadkan usaha mendapatkan 40 peratus pegangan ekuiti dalam projek fasiliti Gas Asli Cecair Terapung (FLNG) di Sabah.
Selain itu, Sabah juga sedang mengusahakan pegangan sebanyak 30 peratus dalam dua lapangan minyak dan gas baharu di Pantai Timur.
“Insya-Allah, perjanjian untuk perkongsian ini akan dimeterai dalam waktu terdekat,” katanya.
Dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan, Kerajaan Negeri turut merancang pembangunan taman perindustrian baharu, termasuk di Kota Belud.
Hab Ekonomi Biru di Kudat juga akan dibangunkan bagi merancakkan lagi kemasukan pelaburan serta memperluas rantaian ekonomi domestik Sabah.
Kerajaan negeri melihat usaha memperkukuh hasil negeri, memperluas pelaburan dan meningkatkan penyertaan Sabah dalam sektor strategik sebagai langkah penting untuk memastikan manfaat pembangunan terus dinikmati rakyat. – DAKWAT RAKYAT POST
