TAWAU: Padah berpesta dengan dadah, enam individu berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas didakwa mengedar 659.16 gram dadah jenis MDMA atau ekstasi.
Kesemua tertuduh, Lisyanti Ibrahim, Andi Moh. Arifai Tatta, Chang Vui Hiung, Sherlin Liew Zi Ling, Muhammad Haikal Daniel Azman dan Shazzreena, berusia antara 20 hingga 39 tahun, didakwa secara bersama melakukan kesalahan itu.
Mereka didakwa mengedar 659.16 gram MDMA di sebuah rumah inap di Taman Nordin, Jalan Kuhara, di sini, kira-kira jam 4.30 pagi pada 26 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan mengedar kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Jika sabit kesalahan, keenam-enam tertuduh berdepan hukuman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, termasuk penjara seumur hidup dan sebatan.
Dalam pertuduhan berasingan, kesemua mereka mengaku bersalah memiliki 1.16 gram ketamin mengikut Seksyen 12(2) akta sama.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menetapkan 18 September depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Jeffery Kadison.
Terdahulu, serbuan dilakukan selepas polis mengesan kegiatan pesta dadah di rumah inap berkenaan yang disewa bagi sambutan hari lahir.
Hasil pemeriksaan menemukan pinggan kaca mengandungi serbuk putih disyaki ketamin, selain sekeping kad dan sebatang rokok yang mempunyai kesan dadah berkenaan.
Polis turut menemukan sebuah jag kaca mengandungi cecair berwarna oren yang disyaki mengandungi ekstasi.
