KOTA BHARU: Bank Negara Malaysia (BNM) mengadakan lawatan dan sesi libat urus bersama Kelstone Cosmos Lab, di bawah Cosmos Gemilang Perkasa Mineral Sdn Bhd, bagi mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai perkembangan industri mineral, khususnya potensi unsur nadir bumi (REE) di Kelantan.
Lawatan yang berlangsung pada petang Isnin lalu itu diketuai Ketua Pejabat Wilayah BNM Kuala Terengganu, Zambre Ismail, bersama dua Pegawai Ekonomi Kanan, Mohamad Azrul Azuan Mohd Azman dan Khairul Danial Imran Khairul Nizam, daripada Regional Economic and Industry Surveillance (REIS), Pejabat Wilayah BNM Kuala Terengganu.
Sesi libat urus memberi tumpuan kepada model perniagaan dan sumber pendapatan utama Kelstone Cosmos Lab, selain membincangkan potensi ekonomi serta daya maju komersial aktiviti perlombongan unsur nadir bumi di Kelantan.
Perbincangan turut menyentuh prospek masa depan industri mineral, termasuk rancangan pengembangan syarikat, cabaran operasi serta perkembangan industri mineral di peringkat tempatan dan global.
Turut dibincangkan ialah kesan perkembangan ekonomi dan geopolitik global terhadap sektor mineral, termasuk konflik di Timur Tengah, selain keadaan pembiayaan serta cabaran yang sedang dihadapi pemain industri.
Delegasi BNM turut berpeluang meninjau kemudahan Kelstone Cosmos Lab bagi mendapatkan pemahaman lebih dekat mengenai operasi, aktiviti penyelidikan serta keupayaan makmal dalam menyokong pembangunan industri mineral.
Lawatan dan sesi libat urus itu mencerminkan kepentingan sektor mineral yang semakin berkembang dalam menyumbang kepada aktiviti ekonomi, di samping memberi gambaran lebih menyeluruh mengenai potensi pembangunan industri unsur nadir bumi di Kelantan.
Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan COSMOS, Dato’ Sri Mossco Woo.
