LAWAS, 23 Ogos: Projek Jambatan Bandar Lawas dijangka siap pada Oktober ini, sekali gus bakal memperkukuh kesalinghubungan serta menyokong perancangan pembangunan bandar berkenaan secara lebih tersusun.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata projek berkenaan merupakan antara komponen penting dalam usaha mempertingkat jaringan perhubungan dan kemudahan infrastruktur di Lawas.
“Jambatan Bandar Lawas sudah hampir siap dan dijangka siap pada bulan Oktober,” katanya ketika berucap pada Program LCDA Berambeh ke Lawas sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-45 LCDA di Dataran Bandar Lawas, di sini, hari ini.
Menurutnya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan serta Menteri Kedua Sumber Asli dan Pembangunan Bandar itu, pembangunan infrastruktur berkenaan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada perancangan lebih menyeluruh bagi memperkemas pembangunan Bandar Lawas, termasuk jaringan jalan raya dan kemudahan awam.
Katanya, perancangan pembangunan Lawas turut mengambil kira kedudukannya yang strategik berikutan bersempadan dengan Brunei, Sabah serta Indonesia.
Dalam pada itu, Awang Tengah memaklumkan bahawa kerajaan turut merangka Limbang-Lawas Local Plan 2035 bagi memastikan pembangunan kedua-dua kawasan itu dapat dilaksanakan secara lebih teratur dan mengambil kira keperluan infrastruktur serta jaringan jalan raya.
“Perancangan kita ialah untuk membangunkan Lawas dengan perancangan yang lebih teratur berdasarkan kepada jaringan jalan raya dan kemudahan yang ada.
“Kita juga sedang melihat bagaimana pembangunan di Lawas dapat diintegrasikan dengan jaringan jalan raya di Brunei, termasuk hubungan dengan pelabuhan dan lapangan terbang,” tambahnya.
Beliau berkata projek seperti Northern Coastal Highway, Trans Borneo Highway serta rangkaian jalan raya di Sarawak dan Sabah perlu diintegrasikan bagi memperkukuh hubungan serantau.
Usaha berkenaan penting bagi memastikan Lawas terus berkembang sebagai kawasan strategik yang mampu menyokong aktiviti ekonomi, perdagangan dan pergerakan masyarakat.
Kredit sumber: TV Sarawak
