TAWAU, 23 Ogos 2026 – Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih mempunyai peranan penting di Sabah kerana kedudukannya sebagai parti nasional memberi ruang untuk isu dan kepentingan negeri itu diketengahkan hingga ke peringkat Persekutuan.
Naib Pengerusi III Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Fung Thin Yein berkata, sentimen ‘Sabah for Sabahan’ tidak seharusnya dilihat sebagai halangan kepada parti nasional untuk terus mendekati dan mendapat sokongan rakyat di negeri ini.
Menurutnya, rakyat Sabah mampu membezakan keperluan pentadbiran negeri dengan fungsi wakil rakyat yang berperanan di Parlimen.
“Di Sabah, kita memang sering mendengar mengenai ‘Sabah for Sabahan’. Namun, apabila membabitkan urusan negeri, ia satu perkara, manakala peranan di Parlimen pula adalah perkara yang berbeza.
“Rakyat lazimnya boleh menerima kewujudan parti yang bersifat nasional. Kita bukan hadir untuk menjadi parti Sabah semata-mata, sebaliknya membawa suara Sabah dalam kerangka Malaysia,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Cabang PKR Tawau berkata demikian ketika ditemui pada Program Belia Ride & Care di Tawau, hari ini.
Fung berkata, PKR Sabah pada masa sama terus memberi tumpuan kepada golongan belia menerusi pelaksanaan program kemasyarakatan dan aktiviti yang memberi manfaat secara terus kepada kumpulan berkenaan.
Katanya, usaha itu turut menepati arahan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta kepimpinan parti di Sabah memperbanyakkan kegiatan yang mendekatkan parti dengan masyarakat.
“PKR Tawau antara cabang yang mendapat perhatian dan perkara ini sudah saya maklumkan kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Perdana Menteri.
“Atas sebab itu, beliau datang dan memberikan arahan supaya program seperti ini dilaksanakan dan kita kini sudah mula menjayakannya,” katanya.
Dalam pada itu, Program Belia Ride & Care yang dianjurkan PKR Tawau menyasarkan kira-kira 500 penunggang motosikal untuk menerima khidmat pertukaran minyak enjin secara percuma.
Fung berkata, program tersebut bukan sahaja bertujuan membantu mengurangkan perbelanjaan golongan belia, malah menyediakan ruang kepada mereka untuk menyertai kegiatan sukan sebagai pilihan lebih selamat berbanding aktiviti berisiko.
“Bagi program hari ini, kita menyasarkan 500 motosikal dan sebanyak 500 liter minyak enjin motosikal sudah disediakan.
“Kita turut menyediakan kemudahan futsal pada kadar yang berpatutan supaya anak-anak muda dapat melakukan aktiviti sukan dan tidak terlibat dalam perlumbaan motosikal di jalan raya yang boleh mengundang bahaya,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut menyediakan ruang pentas yang boleh digunakan golongan muda untuk mengadakan pelbagai aktiviti secara berkala.
Menurutnya, usaha berkenaan diharap mampu menggalakkan golongan belia memilih kegiatan yang lebih sihat, selain memberi peluang kepada mereka mengembangkan kemahiran serta menjana aktiviti ekonomi. – DAKWAT RAKYAT POST
