KUNAK, 25 Ogos 2026 – Tiga ahli sebuah keluarga termasuk seorang kanak-kanak maut, manakala tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki enam sekeluarga terbabas di Kampung Sungai Atas, Jalan Sungai Atas, di sini, petang tadi.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 6.05 petang dengan kesemua mangsa ditemukan berada di luar kenderaan selepas kereta berkenaan dipercayai terbabas sendiri ketika melalui jalan tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 6.05 petang sebelum menggerakkan empat anggota bersama sebuah jentera ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba kira-kira jam 6.10 petang dan mendapati sebuah kereta terbabit dalam kemalangan dipercayai akibat terbabas sendiri.
“Seramai enam mangsa terbabit dalam kejadian itu dengan tiga daripadanya disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala tiga lagi mengalami kecederaan.
“Kesemua mangsa sudah berada di luar kenderaan ketika pasukan bomba tiba, menyebabkan tiada operasi mengeluarkan mangsa perlu dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad berkata, mangsa yang meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, tiga mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Kunak menggunakan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan.
Beliau berkata, operasi di lokasi ditamatkan pada jam 7.31 malam selepas pihak bomba memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat dan tiada risiko bahaya lain.
Punca sebenar kemalangan bagaimanapun tidak dinyatakan dan siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa. – DAKWAT RAKYAT POST
