KUNAK: Seramai 390 peserta terdiri daripada warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kunak, bekas pelajar, ibu bapa serta komuniti setempat menyertai acara Fun Run sempena sambutan Jubli Emas sekolah berkenaan, Sabtu lalu.
Program yang diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-50 penubuhan SMK Kunak itu berlangsung dalam suasana meriah, selain memberi peluang kepada warga sekolah dan masyarakat setempat berkongsi kemeriahan sambutan lima dekad perjalanan institusi berkenaan.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Kunak, Zahari bin Lorong berkata, sambutan peserta terhadap acara itu amat menggalakkan sehingga terdapat individu yang masih mahu menyertai Fun Run walaupun pendaftaran rasmi telah ditutup.
Menurutnya, sambutan berkenaan memperlihatkan sokongan masyarakat terhadap SMK Kunak dalam meraikan pencapaian serta perjalanan sekolah sepanjang 50 tahun penubuhannya.
“Selain menggalakkan gaya hidup sihat, acara ini turut mengeratkan hubungan antara warga sekolah, alumni, ibu bapa dan komuniti setempat dalam suasana yang penuh kemeriahan.
“Penyertaan yang begitu menggalakkan menunjukkan semangat kebersamaan semua pihak dalam menjayakan sambutan Jubli Emas SMK Kunak,” katanya kepada media.
Turut mengambil bahagian dalam acara berkenaan ialah Pengetua SMK Kunak, Selamat Yusuf bersama kakitangan sekolah.
Zahari berkata, sambutan ulang tahun ke-50 itu mempunyai nilai tersendiri kerana sepanjang lima dekad tersebut, SMK Kunak telah melahirkan ramai anak didik selain melalui pelbagai pengalaman, kejayaan dan kenangan yang menjadi sebahagian daripada sejarah sekolah.
Katanya, Fun Run memberi ruang kepada semua golongan untuk bersama-sama meraikan perjalanan lima dekad SMK Kunak tanpa mengira sama ada peserta memilih untuk berlari atau sekadar berjalan.
“Yang paling utama ialah semangat kebersamaan dan kesediaan semua pihak untuk turut serta menjayakan sambutan ini, sekali gus memperkukuh hubungan antara warga sekolah, bekas pelajar, ibu bapa dan komuniti.
“Tempoh 50 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat. Ia dipenuhi pelbagai kisah, kenangan dan pencapaian yang membentuk perjalanan SMK Kunak hingga ke hari ini,” katanya.
Beliau berkata, acara itu menjadi salah satu cara warga sekolah dan komuniti meraikan sejarah lima dekad SMK Kunak dalam suasana santai, ceria dan penuh bermakna.
“50 tahun kita mencipta sejarah, dan hari ini kita melangkah bersama untuk terus mencipta kecemerlangan.
“Kita bukan sekadar berlari, tetapi bersama-sama mencipta satu lagi kenangan bermakna untuk SMK Kunak,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
