LAHAD DATU: Penduduk di sepanjang Jalan Silam-Lahad Datu yang terjejas akibat kerja perobohan rumah bagi memberi laluan kepada pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Pakej WP20 menerima wang ehsan Kerajaan Negeri Sabah hari ini.
Seramai 42 penerima yang layak menerima bayaran berkenaan sebagai bantuan bagi meringankan beban mereka susulan proses perobohan kediaman yang didiami selama ini.
Walaupun terpaksa meninggalkan rumah masing-masing, penduduk terlibat menerima keadaan tersebut dengan hati terbuka dan berharap wang ehsan yang diterima dapat dimanfaatkan untuk meneruskan kehidupan serta menyediakan kediaman baharu.
Seorang pekerja swasta, Abdullah Ahmad berkata, wang ehsan sebanyak RM20,000 yang diterimanya akan dijadikan modal permulaan untuk membina rumah baharu bagi menggantikan kediaman lama.
Menurutnya, jumlah berkenaan sememangnya tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan kos pembinaan rumah pada masa kini, namun tetap disyukuri sebagai bantuan daripada kerajaan.
“Kalau dibandingkan dengan harga bahan dan kos pembinaan sekarang, RM20,000 memang belum mencukupi untuk membina sebuah rumah.
“Bagaimanapun, kami tetap bersyukur dan berterima kasih atas bantuan ini. Sekurang-kurangnya wang tersebut boleh digunakan untuk memulakan pembinaan sebelum ditambah menggunakan simpanan yang ada,” katanya.
Sementara itu, Nurleala Abdul Latif berkata, penduduk turut menantikan penyediaan tapak tanah yang sebelum ini dijanjikan bagi membolehkan mereka membina rumah pengganti.
Katanya, kos pembinaan rumah yang semakin meningkat menyebabkan jumlah wang ehsan diterima masih belum memadai untuk menyediakan kediaman baharu sepenuhnya.
“Kami masih menunggu perkembangan mengenai tapak yang dijanjikan akan disediakan.
“Dalam keadaan ini, kita terpaksa menerima dan reda kerana keputusan sudah dibuat dan proses itu memang perlu dilalui,” katanya.
Dalam pada itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat N62 Silam, Datuk Mizma Appehdullah berkata, majoriti pemilik rumah yang menerima notis perobohan di atas tanah kerajaan memperoleh wang ehsan sebanyak RM20,000.
Beliau berkata, kira-kira 90 peratus penerima menerima jumlah tersebut, manakala selebihnya memperoleh kadar berbeza berdasarkan keadaan serta struktur kediaman masing-masing.
Menurutnya, pemberian wang ehsan itu mendapat sambutan positif daripada kebanyakan penerima kerana sedikit sebanyak dapat membantu mereka menghadapi proses perpindahan.
“Rata-rata penerima berpuas hati dengan wang ehsan yang disalurkan oleh Ketua Menteri kepada mereka.
“Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat membantu menampung kos meroboh atau membuka struktur rumah masing-masing dan seterusnya meringankan beban ketika berpindah dari kawasan berkenaan,” katanya.
Notis perobohan kepada penduduk terlibat mula dikeluarkan pada Oktober tahun lalu.
Bagaimanapun, pelaksanaan kerja perobohan dilakukan secara berperingkat selepas melalui beberapa fasa penangguhan bagi memberi ruang kepada penduduk membuat persiapan.
Kerja perobohan kediaman berkenaan dilaksanakan bagi menyediakan laluan untuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Pakej WP20 yang menghubungkan kawasan berkenaan.
Bagi penduduk terlibat, wang ehsan yang diterima diharap dapat menjadi bantuan awal untuk mereka memulakan kehidupan di tempat baharu, meskipun kos membina kediaman pengganti masih menjadi cabaran. – DAKWAT RAKYAT POST
