BERAT ujian ditanggung Nur Fathirrah Hairuddin, 32, apabila terpaksa makan sehingga 90 biji ubat setiap hari bagi mengawal lapan penyakit yang dihidapinya.
Ibu dua cahaya mata itu menghidap penyakit autoimun ‘lupus eritematosus sistemik’ (SLE), barah otak tahap tiga, masalah hati dan jantung, usus bocor, masalah keresahan, bipolar serta gangguan utama depresi (MDD)
Dugaan berganda buat Nur Fathirrah apabila turut perlu menjalani lima kali rawatan radioterapi dan kini sedang melengkapkan 15 sesi kemoterapi.
Doktor turut memaklumkan sel barah otaknya sangat aktif.
Menurut Nur Fathirrah, kehidupannya berubah secara drastik sejak penyakit SLE yang dihidapi ketika remaja, kembali aktif kira-kira dua tahun lalu dan mula mengganggu hati serta jantung.
“Mula-mula hati saya bengkak, kemudian doktor mengesan saluran darah jantung tersumbat.
“Disusuli pula masalah usus yang menyebabkan saya tidak mampu menerima makanan dan minuman seperti biasa,” katanya.
Menurutnya, sakit kepala yang dialaminya juga berterusan sehingga pada awalnya disangka ia berkaitan dengan masalah keresahan, bipolar dan MDD.
“Keadaan ini menyebabkan saya terpaksa makan 12 biji ubat tahan sakit kerana tidak mampu menahan kesakitan. Malangnya sakit kepala tidak berkurangan.
“Selepas menjalani pengimejan resonans magnetik (MRI), saya didiagnosis menghidap barah otak tahap tiga,” katanya.
Nur Fathirrah berkata, dia perlu dirujuk kepada pakar neurologi di Ipoh, Perak dan menjalani pemeriksaan susulan secara berkala.
Katanya, ada ketikanya rutin rawatan menyebabkan dia menghabiskan masa seharian di hospital.
“Sekarang saya perlu ke hospital di Ipoh seminggu sekali untuk berjumpa pakar neurologi, manakala rawatan dan pemeriksaan lain dilakukan di Hospital Taiping, Perak,” katanya.
Nur Fathirrah berkata, dalam tempoh dua tahun ini, dia menghidap pelbagai penyakit serentak sehingga menjejaskan keupayaan fizikalnya.
“Mula-mula ia menyerang hati, jantung, usus dan akhirnya otak.
“Saya juga boleh pengsan tiga hingga empat kali sehari, terutama apabila cuaca terlalu panas atau tekanan darah rendah.
“Setiap kali saya pengsan, anak berusia enam tahun akan menghubungi suami di tempat kerja atau bapa saya untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Katanya lagi, keadaan kesihatannya turut menyebabkan dia tidak mampu menjalani kehidupan seperti dahulu.
“Saya kini lebih banyak berada di rumah dan mengurangkan aktiviti di luar kerana mudah letih serta perlu mendapatkan rawatan secara berterusan.
“Saya juga enggan bertemu orang bagi mengelakkan tekanan,” katanya.
Nur Fathirrah berkata, penyakit SLE yang dihidapinya berkaitan dengan sendi menyebabkan tubuhnya membengkak, terutama selepas bangun tidur sehingga pergerakannya menjadi terbatas.
“Kini saya terpaksa tidur dalam keadaan duduk sejak kira-kira enam bulan lalu. Setiap kali baring, tulang belakang saya menjadi sangat sakit,” katanya.
Nur Fathirrah berkata, suami adalah sosok yang paling banyak membantunya termasuk menguruskan rumah dan memastikan keperluan anak-anak terjaga.
“Kalau emosi saya tidak stabil, ibu dan ayah akan datang ke rumah untuk membantu menjaga serta mengurus anak-anak.
“Kerana perlu melalui proses rawatan yang panjang, keadaan kesihatan tidak menentu dan beban kewangan, ada kalanya saya berasa terlalu penat, malah mahu mengalah,” katanya.
Nur Fathirrah berkata, dia perlu berada dalam lingkungan yang positif dan dikelilingi individu yang memahami keadaannya supaya tidak berasa keseorangan ketika berdepan ujian.
Katanya, perkongsian mengenai keadaan kesihatan di media sosial juga bukan untuk meraih simpati, sebaliknya menjadi ruang meluahkan bebanan yang tidak mampu ditanggung seorang diri.
“Saya tersentuh hati kerana ramai mendoakan untuk kesejahteraan kesihatan.
“Saya akan terus bertahan demi keluarga. Saya juga berharap orang ramai memahami bahawa setiap pesakit berdepan perjuangan yang mungkin tidak kelihatan pada mata kasar,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro
