TAWAU: Seorang nelayan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki 128.7 gram dadah jenis methamphetamine.
Tertuduh, Rizal Aral, 34, membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan pilihan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos.
Berdasarkan pertuduhan, Rizal didapati memiliki dadah berkenaan di Jalan Indrasabah, Fishing Paradise, di sini, pada 20 Jun 2025.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.
Mengikut fakta kes, anggota polis terserempak dengan tertuduh ketika dia berada di kawasan Indrasabah sambil membawa sebuah beg berwarna kelabu.
Bagaimanapun, tertuduh cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis sebelum membuang beg yang dibawanya.
Hasil pemeriksaan terhadap beg itu menemukan tiga bungkusan berisi bahan hablur jernih yang kemudiannya disahkan sebagai methamphetamine dengan berat keseluruhan 128.7 gram.
Siasatan mendapati Rizal mengetahui kandungan beg tersebut adalah syabu dan dia dijanjikan bayaran RM500 sebagai upah untuk mengambil serta menghantarnya kepada seorang individu yang dikenali dengan nama ‘Sultan’.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan 10 sebatan terhadap tertuduh, dengan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 20 Jun 2025.
Selepas selesai menjalani hukuman, Rizal turut diperintahkan untuk dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi tindakan selanjutnya. – DAKWAT RAKYAT POST
