SANDAKAN, 27 Ogos 2026 – Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mengambil langkah proaktif untuk mengembalikan semula kemeriahan pusat bandar Sandakan yang semakin kurang dikunjungi susulan banyak premis perniagaan ditutup atau berpindah ke kawasan komersial baharu.
Antara pendekatan yang sedang dirangka termasuk menggalakkan pemilik premis menawarkan kadar sewa lebih berpatutan, menyediakan insentif pengurangan cukai pintu serta memperluas aktiviti ekonomi pada waktu malam.
Presiden MPS, Datuk Walter Kenson berkata, hasil inventori yang dijalankan pihak berkuasa tempatan itu mendapati kira-kira 20 peratus lot kedai di tingkat bawah pusat bandar ketika ini tidak berpenghuni.
Katanya, sekitar 20 peratus lagi lot di aras berkenaan pula hanya digunakan sebagai ruang penyimpanan barang, manakala keadaan di tingkat satu dan ke atas lebih membimbangkan apabila lebih separuh ruang didapati kosong.
Menurutnya, antara faktor yang menyumbang kepada keadaan itu ialah penghijrahan aktiviti perniagaan ke kawasan pembangunan baharu termasuk bandar satelit, selain kadar sewaan premis di pusat bandar yang dilihat lebih tinggi.
“Kita melihat antara punca lot kedai di pusat bandar tidak berpenghuni adalah kadar sewa yang tinggi berbanding kawasan baharu.
“Justeru, kita akan berbincang dan berusaha meyakinkan pemilik premis supaya mempertimbangkan kadar sewaan yang lebih rendah. Sebagai permulaan, kita mencadangkan kadar RM2,500 ke bawah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Town Hall MPS yang berlangsung di Dewan Masyarakat Sandakan, pagi tadi.
Dalam usaha mendapatkan lebih ramai penyewa, MPS juga bercadang menjalin kerjasama dengan ejen hartanah bagi membantu memasarkan premis-premis yang masih kosong.
Selain itu, pemilik bangunan yang berjaya mengaktifkan semula premis menerusi kemasukan penyewa baharu serta mendapatkan lesen perniagaan baharu akan menikmati pengurangan 50 peratus cukai pintu untuk tahun berikutnya.
Pada masa sama, MPS turut melihat potensi ekonomi malam sebagai salah satu kaedah untuk memastikan pusat bandar tidak hanya aktif pada waktu bekerja.
Cadangan berhubung peluasan waktu operasi itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.
Menerusi cadangan berkenaan, perniagaan yang tidak berisiko dicadangkan untuk dibenarkan beroperasi selama 24 jam, manakala premis yang dikategorikan sebagai berisiko dicadangkan beroperasi sehingga jam 4 pagi.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Maijol Mahap berkata, cadangan berkenaan akan diteliti pihak kementerian sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Bagi perniagaan yang tidak berisiko, MPS mencadangkan waktu operasinya dibenarkan sehingga 24 jam, manakala premis yang mempunyai unsur risiko pula sehingga jam 4 pagi.
“Ini antara pembaharuan yang dicadangkan untuk Sandakan dan pihak kementerian akan meneliti cadangan MPS sebelum menentukan keputusan yang terbaik untuk bandar ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa cadangan tersebut masih belum berkuat kuasa dan tertakluk kepada pertimbangan kementerian.
Premis yang tergolong dalam kategori berisiko termasuk pub, karaoke dan kedai urut.
Dalam perkembangan berkaitan, Maijol turut menyatakan sokongan terhadap cadangan menjadikan Sandakan sebagai “Little Hong Kong” dalam usaha memperkukuh daya tarikan pelancongan bandar berkenaan.
Ahli Majlis MPS, Robert Chong pula berkata, kejayaan menghidupkan kembali pusat bandar memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak boleh bergantung kepada satu pihak sahaja.
“Apabila perancangan ini dilaksanakan, kita boleh bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing untuk membantu menjayakannya.
“Jika hanya satu pihak yang berusaha, perkara ini sukar direalisasikan. Tetapi dengan penglibatan semua pihak, matlamat itu mempunyai peluang lebih besar untuk menjadi kenyataan,” katanya.
Town Hall MPS itu menghimpunkan pemilik premis, peniaga serta pihak berkepentingan bagi membincangkan isu yang dihadapi sektor perniagaan selain mendapatkan pandangan mengenai langkah yang sesuai untuk mengembalikan aktiviti ekonomi di pusat bandar Sandakan.
MPS turut merancang menjadikan Town Hall berkenaan sebagai program tahunan bagi memastikan suara dan pandangan komuniti perniagaan terus diberi perhatian dalam merangka perancangan pembangunan serta strategi merancakkan semula pusat bandar Sandakan. – DAKWAT RAKYAT POST
