KUALA LUMPUR: Kerugian dan hutang sehingga RM260,000 akibat penipuan cinta (love scam) dipercayai menjadi punca tragedi empat sekeluarga yang ditemukan maut di sebuah kondominium di Desa Parkcity, di sini, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata lelaki berusia 48 tahun yang juga bapa kepada dua kanak-kanak terbabit meninggalkan sekeping nota di atas meja makan sebelum dipercayai membunuh diri.
Katanya, nota itu menyatakan rasa kesal lelaki berkenaan terhadap isterinya yang didakwa mempunyai hubungan dengan seorang ‘scammer’ menerusi penipuan cinta sehingga menyebabkan dia menanggung kerugian dan hutang berjumlah RM260,000.
“Dalam nota itu, isterinya dikatakan masih cuba menghubungi ‘scammer’ berkenaan.
“Suspek merasakan perbuatan itu sudah melampau selain berasa malu kepada anak-anaknya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Fadil, isteri suspek adalah seorang suri rumah, manakala lelaki berkenaan bekerja sebagai pengarah di sebuah syarikat milik bapanya.
Fadil berkata, proses bedah siasat terhadap anak perempuan pasangan berkenaan yang berusia sembilan tahun selesai dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), tengah hari tadi.
Katanya, bedah siasat yang bermula jam 9 pagi itu menemukan satu luka tikaman berukuran lima sentimeter pada bahagian leher kanak-kanak berkenaan.
“Bedah siasat kedua ke atas mayat isteri suspek akan dijalankan selepas solat Jumaat dan dijangka tiga bedah siasat akan dilakukan hari ini.
“Bedah siasat ke atas mayat suspek pula dijangka dilakukan esok selepas pasukan forensik HKL mengadakan lawatan ke lokasi kejadian pada pagi esok,” katanya.
Mengulas mengenai senjata dipercayai digunakan dalam kejadian, Fadil berkata, polis menemukan sebilah pisau bersama sepasang sarung tangan di dalam sebuah laci di bilik tidur utama.
“Kedua-dua barangan itu dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan,” katanya.
Terdahulu, BH melaporkan lelaki berusia 48 tahun itu maut selepas terjatuh dari bangunan kondominium berkenaan, manakala isterinya berusia 47 tahun serta dua anak mereka ditemukan meninggal dunia dalam unit kediaman keluarga itu.
Polis yang menerima laporan pada jam 3.32 petang kemudian memasuki unit kediaman berkenaan dengan bantuan bomba sebelum menemukan wanita itu serta dua anaknya, masing-masing perempuan berusia sembilan tahun dan lelaki berusia tujuh tahun, meninggal dunia dalam bilik berasingan.
Ketiga-tiga mangsa ketika ditemukan mengalami kecederaan parah pada bahagian leher.
Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.
Kredit sumber: Berita Harian
