TAWAU, 31 Ogos 2026 – Penduduk di daerah ini mula mengambil langkah berjaga-jaga apabila keadaan jerebu semakin ketara susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai 153 pada jam 3 petang hari ini.
Bacaan berkenaan berada pada kategori tidak sihat dan antara paras tertinggi yang direkodkan di Sabah ketika jerebu mula menjejaskan rutin harian penduduk di daerah ini.
Keadaan itu turut menyaksikan sebahagian orang ramai mengambil langkah mengurangkan aktiviti di luar rumah, selain menggunakan pelitup muka dan memastikan pengambilan air yang mencukupi bagi mengurangkan risiko akibat pencemaran udara.
Pekerja hotel, Jumain Kassing, 37, berkata beliau kini mengehadkan aktiviti riadah di luar rumah termasuk berjoging bagi mengelakkan pendedahan berpanjangan kepada udara tercemar.
Menurutnya, pengalaman mengalami batuk ketika berdepan keadaan jerebu sebelum ini menyebabkan beliau lebih berhati-hati apabila kualiti udara mula merosot.
“Sekarang apabila jerebu, saya kurangkan aktiviti luar seperti berjoging. Selepas balik kerja, saya terus pulang ke rumah.
“Pengalaman sebelum ini, apabila keadaan berjerebu, saya mudah mengalami batuk. Jadi, kalau mula rasa batuk, saya akan memakai pelitup muka,” katanya.
Sementara itu, peniaga, Nurasyikin Taraweng berkata, keadaan jerebu yang semakin kuat turut memberi kesan kepada keselesaannya terutama apabila tekak mula terasa gatal dan pernafasan menjadi kurang selesa.
Katanya, penggunaan pelitup muka kini menjadi keutamaan setiap kali keluar rumah, selain meningkatkan pengambilan air kosong.
“Sekarang kita lebih banyak minum air kosong dan setiap kali keluar perlu memakai pelitup muka.
“Tekak juga terasa gatal dan pernafasan kurang selesa kerana keadaan jerebu di Tawau sekarang semakin kuat,” katanya.
Bagi peniaga pasar, Jalil Abdullah, aspek penjagaan diri perlu diberi perhatian serius terutama oleh mereka yang terpaksa berada di kawasan terbuka untuk tempoh yang lama.
Beliau berkata, orang ramai sebaiknya mengurangkan pergerakan di luar sekiranya tiada urusan penting, selain memakai pelitup muka dan minum air secukupnya.
“Kalau boleh, kurangkan keluar rumah ketika keadaan berjerebu. Namun bagi mereka yang perlu bekerja, langkah penjagaan diri perlu diberi perhatian termasuk memakai pelitup muka dan memastikan tubuh mendapat air yang mencukupi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, kerani, Nurul Ziana Salleh, 27, menasihatkan orang ramai supaya mengehadkan aktiviti luar serta mendapatkan rehat yang mencukupi sekiranya mula mengalami batuk atau ketidakselesaan akibat jerebu.
Menurutnya, individu yang mengalami masalah kesihatan akibat keadaan udara yang tercemar perlu berehat dan mendapatkan rawatan sewajarnya sekiranya keadaan semakin membimbangkan.
Keadaan jerebu yang melanda Tawau ketika ini mula menimbulkan kebimbangan penduduk, khususnya golongan yang perlu menjalankan tugasan harian di kawasan terbuka.
Orang ramai dinasihatkan supaya terus mengambil langkah pencegahan dan mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar, terutama selagi bacaan IPU berada pada tahap tidak sihat. – DAKWAT RAKYAT POST
