BATU PAHAT: Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara 16 bulan kepada seorang pekerja kebun selepas dia mengaku salah tuduhan mencederakan seorang lelaki menggunakan tukul besi kerana didakwa mengganggu teman wanitanya.
Majistret Mustaqim Sukarno menjatuhkan hukuman itu terhadap Saifol Bahar Saidun, 47, yang juga bapa kepada tiga anak selepas mengambil kira pengakuan dibuat serta rayuan dikemukakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan mangsa berusia 37 tahun dengan memukulnya menggunakan tukul besi yang boleh menyebabkan kematian.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Parit Saidi, Senggarang dekat sini, pada jam 11.45 malam, 27 Ogos lalu dan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Hukumannya adalah penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman terbabit.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga mangsa datang ke rumah tertuduh. Semasa berada di rumah terbabit, tertuduh bertindak mencederakan mangsa dengan memukul kepala dan badan menggunakan tukul besi sepanjang 14 sentimeter.
Susulan kejadian itu, mangsa berjaya melepaskan diri sebelum ke balai polis untuk membuat laporan. Kejadian itu menyebabkan mangsa parah.
Untuk mengukuhkan lagi siasatan polis, laporan pemeriksaan awal perubatan mengesahkan mangsa cedera di kepala akibat perbuatan tertuduh.
Bertindak atas maklumat, polis menahan tertuduh pada keesokan hari bagi membantu siasatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam, Haryanti Othman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Kredit sumber: Sinar Harian
